KOTA KINABALU, 14 April (Bernama) -- Dakwaan Kerjaya Kagum Hitech JV Sdn Bhd gagal melaksanakan Projek Empangan Ulu Padas di Tenom adalah tidak tepat kerana projek itu melalui proses yang panjang dan dijangka siap pada 2030, persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah diberitahu hari ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata projek itu dianugerahkan pada 13 Julai 2015 namun ia melalui pelbagai proses, termasuk perubahan pegangan saham syarikat terlibat, kajian teknikal yang ketat, penangguhan kerajaan Persekutuan dan negeri serta penularan pandemik COVID-19.
Beliau berkata Kagum Hitech JV juga bukan kontraktor utama, sebaliknya hanya memegang 15 peratus saham dalam syarikat pemaju Upper Padas Power Sdn Bhd manakala Gamuda Berhad (45 peratus) serta syarikat berkaitan kerajaan milik penuh kerajaan negeri Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (40 peratus).
“Gamuda Berhad telah menyatakan komitmen kukuh terhadap kejayaan projek itu melalui Majlis Pecah Tanah Projek Empangan Ulu Padas yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Tenom pada 7 Dis 2023,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Lamag) yang bertanya apakah justifikasi kerajaan membenarkan Kerjaya Kagum Hitech JV Sdn Bhd terus terlibat dalam projek Empangan Tenom walaupun didakwa gagal melaksanakannya sejak 2015.
Hajiji berkata sebagai pemegang saham majoriti, Gamuda Berhad telah dilantik sebagai pemaju utama dan bertanggungjawab untuk mengetuai keseluruhan pelaksanaan projek itu termasuk reka bentuk, pembinaan dan pengurusan pelaksanaan teknikal.
"Gamuda Berhad bukan sahaja memiliki rekod prestasi kukuh dalam pelaksanaan projek infrastruktur berskala besar, mereka juga membawa kelebihan dari segi keupayaan kewangan dengan sokongan dana sedia ada sebanyak RM4.65 bilion yang diperoleh menerusi institusi kewangan tempatan," katanya.
Beliau berkata Empangan Ulu Padas dan projek penjanaan lain, akan dapat memastikan jidar simpanan kapasiti penjanaan elektrik dikekalkan pada tahap melebihi 25 peratus untuk Grid Sabah yang menghubungkan sistem bekalan elektrik ke seluruh daerah di negeri ini serta Labuan.
Setelah empangan itu beroperasi sepenuhnya masalah bekalan air di Sabah dapat diatasi dengan wujudnya projek Skim Bekalan Air Ulu Padas (SBAUP) yang berpotensi untuk membekalkan air sebanyak 6,000 juta liter sehari dan mampu menampung keperluan air hingga 100 tahun.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial