AM > BERITA

Anwar, Xi Jinping Adakan Pertemuan, Bincang Usaha Kukuh Hubungan Dua Hala , Erat Persahabatan

16/04/2025 07:29 PM

PUTRAJAYA, 16 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden China Xi Jinping di Kompleks Seri Perdana di sini hari ini.

Xi dan delegasinya tiba di kediaman rasmi Perdana Menteri itu pada 5.05 petang, dengan disambut mesra oleh Anwar, dan ia kemudiannya disusuli dengan persembahan kebudayaan oleh Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

Hadir sama di Kompleks Seri Perdana bagi menyambut ketibaan Presiden Xi ialah sekumpulan pelajar Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 16 (2) yang menyampaikan ucapan “Selamat Datang ke Malaysia” dalam bahasa Mandarin.

Presiden Xi kemudiannya menandatangani buku pelawat sebelum mengadakan pertemuan tertutup dengan Anwar.

Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli, dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Menteri Kabinet lain yang hadir ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Anwar dan Xi dijangka membincangkan cara untuk menyemarakkan kerjasama dua hala serta saling bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

Ini merupakan lawatan kedua Xi ke Malaysia dalam tempoh 12 tahun, selepas lawatan terakhir pada 2013, di tengah-tengah senario geopolitik dan geoekonomi yang mencabar.

Presiden China melihat lawatan itu akan mengeratkan lagi persahabatan tradisional dan mengukuhkan kepercayaan politik antara kedua-dua negara.

Kedua-dua pemimpin juga dijangka menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (Mou), nota dan perjanjian antara Malaysia dan China, diikuti dengan majlis makan malam rasmi yang dihoskan oleh Anwar sebagai penghormatan kepada Xi.

Terdahulu Xi diberi sambutan negara di Istana Negara, diikuti dengan kunjungan menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim. Seri Paduka Baginda turut berkenan meraikan Presiden Xi dan delegasinya dalam satu majlis santapan negara. 

Lawatan negara tiga hari Xi ke Malaysia yang bermula semalam adalah atas jemputan Sultan Ibrahim.

Ia adalah sebahagian daripada siri Lawatan Negara pertama Presiden China tahun ini, yang turut merangkumi Vietnam dan Kemboja.

Sebagai pengerusi semasa ASEAN dan Penyelaras Negara bagi Hubungan Dialog ASEAN-China, Malaysia mengesahkan komitmennya untuk memajukan Perkongsian Strategik Komprehensif antara ASEAN dan China melalui dialog, saling kepercayaan bersama dan inisiatif berpaksikan rakyat.

Malaysia dan China telah menjalinkan hubungan diplomatik pada 31 Mei 1974. Kedua-dua negara meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik tahun lepas. 

Selama 16 tahun berturut-turut sejak 2009, China kekal sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia.

Jumlah dagangan antara kedua-dua negara bernilai RM484.12 bilion pada 2024, mewakili 16.8 peratus daripada jumlah keseluruhan dagangan global Malaysia (RM2.88 trilion).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan