Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 18 April (Bernama) – Polis Indonesia menggagalkan cubaan 10 individu untuk menunaikan ibadah haji ke Arab Saudi menggunakan visa kerja, dalam usaha yang disifatkan pihak berkuasa sebagai percubaan memintas sistem kuota rasmi negara itu.
Anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Tangerang, Banten bertindak apabila kumpulan dari Banjarmasin, Kalimantan Selatan itu bersiap untuk menaiki penerbangan komersial ke Malaysia, sebelum meneruskan perjalanan ke Arab Saudi.
“Kami kini sedang berkoordinasi dengan Kementerian Hal Ehwal Agama untuk siasatan lanjut,” kata Ketua Polis Lapangan Terbang, Ketua Pesuruhjaya Ronald Sipayung, seperti dipetik Metro TV.
Bagaimanapun, beliau tidak mengesahkan sama ada pertuduhan jenayah akan dikenakan.
Menurut siasatan, kumpulan itu cuba menyamar sebagai jemaah haji sah dengan membawa bagasi yang sepadan seperti kumpulan haji rasmi, namun pemeriksaan rutin menimbulkan kecurigaan.
“Penerbangan umrah telah digantung bagi memberi laluan kepada persiapan musim haji yang bermula Mei ini,” kata Pesuruhjaya Siasatan Jenayah Yandri Mono.
Daripada 10 individu berkenaan, sembilan merupakan bakal jemaah dan seorang wakil agensi pelancongan, masing-masing dilaporkan membayar antara 100 juta hingga 200 juta rupiah, atau kira-kira US$6,250 hingga US$12,500 kepada agensi terlibat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial