AM > BERITA

Orang Ramai Dijemput Ke Majlis Tahlil Tun Abdullah Di Masjid Negara - Khairy

16/04/2025 07:29 PM

KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Orang ramai dijemput menghadiri majlis tahlil untuk Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi pada malam ini dan esok di Masjid Negara.

Menantu Allahyarham, Khairy Jamaluddin berkata majlis berkenaan akan diadakan selepas solat maghrib.

“Di kesempatan ini, saya bagi pihak keluarga Allahyarham ingin memaklumkan bahawa majlis tahlil akan diteruskan pada Rabu dan Khamis selepas solat maghrib di lokasi sama iaitu Masjid Negara, sementara majlis pada Khamis akan disertai dengan bacaan Yasin.

“Kami seisi keluarga dengan rendah diri mengundang orang ramai yang berkesempatan untuk sama-sama mengimarahkan majlis tahlil dan bacaan Yasin berkenaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Tun Abdullah, 85, yang merupakan Perdana Menteri kelima menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN), di sini pada 7.10 malam Isnin.

Jenazah Tun Abdullah dikebumikan mengikut Istiadat Pengebumian Negara di Makam Pahlawan, Masjid Negara semalam yang turut dihadiri pemimpin tertinggi negara, kenamaan serta rakyat pelbagai lapisan masyarakat bagi memberikan penghormatan terakhir.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan