AM > BERITA

China, Malaysia Akan Bersama Negara Di Rantau Ini Perangi Unilateralisme - Xi Jinping

16/04/2025 11:06 PM

PUTRAJAYA, 16 April (Bernama) -- China dan Malaysia akan bersama-sama dengan negara lain di rantau ini dalam usaha kolektif bagi mengatasi cabaran unilateralisme dan proteksionisme susulan ketegangan persaingan geopolitik serta konfrontasi blok, kata Presiden Xi Jinping.

"Bersama-sama, kita akan menjaga prospek cerah tanah air kita di Asia," katanya ketika berucap pada majlis makan malam yang dihoskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai penghormatan kepada beliau di Kompleks Seri Perdana di sini malam ini.

Xi berkata beliau dan Anwar telah mengadakan perbincangan mesra serta mencapai beberapa konsensus penting dalam usaha meningkat kerjasama antara kedua-dua negara merentasi pelbagai sektor.

"Ketika mendepani cabaran semasa sehinggalah kepada ketenteraman di peringkat antarabangsa selain globalisasi ekonomi, kedua-dua negara kita bersama dengan rakan kongsi serantau akan bersatu bagi menentang ketegangan dalam persaingan geopolitik serta konfrontasi blok dan akan mengatasi cabaran unilateralisme dan proteksionisme," katanya.

Beliau juga berkata silaturahim antara China dan Malaysia adalah sejajar dengan aliran sejarah serta menjanjikan masa depan yang cerah.

Ini merupakan lawatan rasmi kedua Xi ke Malaysia dalam tempoh 12 tahun selepas kunjungan beliau pada 2013 di tengah-tengah landskap geopolitik dan geoekonomi yang mencabar.

"Pada 2023, Perdana Menteri Anwar dan saya bersama-sama mengumumkan pembinaan komuniti China-Malaysia yang berkongsi masa depan sekali gus membawa lembaran baharu dalam hubungan dua hala kita.

"China berharap dapat bekerjasama dengan Malaysia untuk membina komuniti China-Malaysia yang berkualiti tinggi, strategik dan berkongsi masa depan bagi meraikan satu lagi Jubli Emas dalam hubungan dua hala antara kita," katanya.

 Xi juga berkata perkongsian yang diperkukuh ini akan membantu usaha pemodenan kedua-dua negara dan berfungsi sebagai solidariti serta kerjasama dalam kalangan negara-negara Selatan Global sekali gus menyumbang kepada keamanan, kestabilan dan kemakmuran di peringkat serantau mahupun global.

"Kita adalah kawan karib serta rakan kongsi. Daripada segi politik, kita saling menghormati dan percaya antara satu sama lain. Daripada segi ekonomi, kita menikmati kerjasama yang saling menguntungkan.  

"Daripada segi budaya, kita saling belajar dan mencergaskan antara satu sama lain. Saya berharap Malaysia terus makmur dan rakyatnya bahagia serta sejahtera. Semoga silaturahim antara China dan Malaysia berkekalan," katanya.

Antara kenamaan yang hadir pada majlis itu ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Hadir sama Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Turut hadir Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir serta Menteri Digital Gobind Singh Deo.

Majlis itu turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan