MELAKA, 17 April (Bernama) -- Pengunjung atau peminat seni khususnya berunsurkan sejarah berpeluang melihat secara dekat pelbagai karya dihasilkan seniman, artis dan pengarca terulung negara dalam bentuk visual yang diterjemahkan daripada teks klasik Sulalatus Salatin.
Pengerusi Persatuan Pelukis Negeri Melaka Pardan Moslem berkata sebanyak 37 karya seni dipamerkan pada Pameran Manifestasi: Teks Sulalatus Salatin ke Visual yang sedang berlangsung di Balai Seni Lukis Melaka selama empat bulan bermula 1 Jan lepas.
Beliau berkata karya seni berkenaan dihasilkan dalam pelbagai bentuk antaranya lukisan, arca, catan dan seni instalasi yang dihasilkan oleh 27 artis atau seniman tempatan khususnya dalam kalangan ahli persatuan berkenaan.
"Antara karya seni popular yang dipamerkan ialah 'Waadat' oleh Dr Sharmiza Abu Hassan yang diterjemahkan dalam seni instalasi dan karya berkenaan bukan sahaja pernah dipamerkan di beberapa muzium di negara ini malah turut dipertontonkan di Muzium Seni Singapura.
"Selain itu, pameran berkenaan turut mengetengahkan beberapa karya seni pengarca terkenal iaitu Dr Rosli Zakaria bertema pergelutan yang menterjemahkan kisah pertarungan antara Hang Tuah dan Hang Jebat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata Sulalatus Salatin menjadi pilihan tema pameran itu kerana karya berkenaan dikenali sebagai Sejarah Melayu dan turut menceritakan kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka.
Pameran itu, katanya diadakan selaras dengan galakan kerajaan untuk memantap dan memartabatkan bidang seni serta budaya seiring kemajuan negara.
Pardan berkata ia juga selaras dengan wawasan Balai Seni Negara menjadikan 2025 sebagai tahun wacana ilmu.
Sementara itu, Penolong Kurator Perbadanan Muzium Melaka Fairuz Mamat berkata sambutan pengunjung terhadap Pameran Manifestasi: Teks Sulalatus Salatin ke Visual agak menggalakkan walaupun karya seni yang diterjemahkan itu agak berat bagi sesetengah pihak terutama golongan muda.
Beliau berkata kaedah penterjemahan teks sejarah agung klasik secara visual itu mampu memberi penjelasan menyeluruh tentang setiap kisah yang ingin disampaikan tanpa perlu membaca secara terperinci.
"Kira-kira 500 hingga 600 pengunjung direkodkan melawat Balai Seni Lukis Melaka sebulan bagi menyaksikan pameran itu dengan tiket antara RM3 hingga RM5 seorang.
"Orang ramai masih berpeluang berkunjung ke sini hingga akhir bulan ini untuk melihat pelbagai karya seni menarik sekali gus dapat memahami sejarah Melayu agung dengan lebih baik," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial