AM > BERITA

KPDN Lancar Ops GASAK, Banteras Penyelewengan Subsidi Gas Memasak

18/04/2025 03:32 PM

PUTRAJAYA, 18 April (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Ops GASAK mulai 1 Mei ini bagi membanteras penyelewengan subsidi gas memasak.

Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata operasi di bawah kerangka inisiatif ‘Kita Gempur’ itu bertujuan memastikan gas memasak bersubsidi tidak disalah guna oleh industri yang tidak layak atau diseludup ke luar negara.

“Ada industri yang tidak layak untuk mendapat subsidi gas yang mendapatkan gas melalui kaedah decanting iaitu memindahkan gas dari tong yang ditetapkan untuk tujuan subsidi kepada tong untuk penjualan industri.

“Kita mahu pihak ini sedar bahawa mereka tidak sewajarnya menggunakan subsidi itu untuk kepentingan sendiri kerana ia perlu sampai kepada rakyat yang memerlukan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri sambutan Hari Penguat Kuasa KPDN di sini hari ini.

Beliau berkata aduan berkaitan sukatan isi padu tong gas yang tidak mencukupi akan turut diberi perhatian di bawah Ops GASAK.

Armizan berkata ketirisan subsidi gas memasak perlu ditangani segera kerana ia melibatkan implikasi kewangan yang tinggi kepada kerajaan.

“Implikasi subsidinya mencecah RM3 bilion setahun. Kalau kita tidak selesaikan isu ini, kita risau implikasi kewangan itu akan bertambah mencecah lebih RM4 bilion untuk tahun-tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata Ops GASAK akan digerakkan secara bersepadu bersama agensi penguatkuasaan lain seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

“Kita memerlukan juga kerjasama daripada rakyat… salurkanlah maklumat melalui platform yang disediakan supaya kita dapat bersama-sama banteras dan tamatkan tindakan pihak yang mengambil keuntungan atas angin di atas subsidi,” katanya.

Dalam pada itu, Armizan berkata sebanyak 70,906 pemeriksaan dilakukan KPDN melalui Ops Pantau sempena Hari Raya Aidilfitri pada 2 hingga 30 Mac lepas.

Beliau berkata sebanyak 390 kes dihasilkan dengan kesalahan utama direkodkan membabitkan kegagalan mempamerkan tanda harga dan penggunaan alat timbang yang tidak ditentusah atau tamat tempoh.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan