AM > BERITA

Lebih 50,000 Pengunjung Serbu Rumah Terbuka Ketua Menteri Melaka

19/04/2025 10:32 PM

ALOR GAJAH, 19 April (Bernama) -- Lebih 50,000 orang hadir memeriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri Ketua Menteri Melaka yang berlangsung di Villa D'Acqua Kampung Pulau di sini hari ini. 

Majlis yang bermula pada 3 petang itu turut diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, di samping barisan kepimpinan peringkat Persekutuan dan negeri. 

Turut hadir Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Arul Rajoo Durar Raj. 

Meskipun hujan, Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata kehadiran masyarakat pelbagai kaum pada rumah terbuka membuktikan satu indikator kepada kerajaan yang stabil, yang akhirnya memberi pulangan semula kepada rakyat dalam bentuk perpaduan dan keharmonian. 

“Kita dapat lihat bukan sahaja kaum Melayu tetapi India dan Cina turut hadir meraikan suasana hari raya ini walaupun cuaca hujan, dengan setakat petang ini dianggar sudah lebih 15,000 pengunjung telah hadir dan jumlah itu akan bertambah hingga malam ini. 

“Pengunjung bukan sahaja menikmati pelbagai jenis makanan dan minuman daripada 70 reruai dan 10 trak makanan yang ada, tetapi turut dihiburkan oleh artis antaranya Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Awie, Datuk Jamal Abdillah, Datuk Nash dan Azlan and The Typewriter,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan