AM > BERITA

Kerajaan Sabah Sumbang RM110,000 Untuk Anugerah Kewartawanan Kinabalu

19/04/2025 10:07 PM

KOTA KINABALU, 19 April (Bernama) -- Kerajaan negeri Sabah menyumbang RM110,000 untuk penganjuran Anugerah Kewartawanan Kinabalu tahun ini, meningkat berbanding RM100,000 tahun lepas.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menyerahkan sumbangan itu kepada Persatuan Wartawan Sabah (SJA)  selaku penganjur anugerah itu pada Majlis Hari Raya Aidilfitri Ketua Menteri Bersama Rakan Media di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu di sini malam ini.

Pengarah Media dan Komunikasi Jabatan Ketua Menteri Datuk Lucy Irene Yong dalam ucapannya berkata Majlis Hari Raya Aidilfitri itu dihoskan khas oleh Ketua Menteri khusus untuk para pengamal media.

Beliau berkata Hajiji dan kerajaan negeri amat menghargai peranan dan kerjasama pihak media, yang terus memberi sokongan dan membantu melaporkan program-program yang dilaksanakan oleh kerajaan.

“Sambutan tahun ini berbeza berbanding tahun sebelumnya, kerana ia diadakan di Menara Kinabalu yang mempunyai dewan yang cantik dan indah,” katanya.

Turut hadir Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Ruslan Muharam, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Joniston Bangkuai, Pengarah Penerangan negeri Jainisah Mohd Noor, Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia Sabah Mohd Yusni Mohamed Ali, Presiden SJA Mariah Doksil dan Presiden Persatuan Wartawan Kota Kinabalu (KKJA) Jimmy Goh.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan