PASIR MAS, 20 April (Bernama) -- Penduduk dan peniaga di Rantau Panjang menyuarakan harapan agar projek tebatan banjir di kawasan itu disegerakan memandangkan risiko banjir yang berulang saban tahun memberi implikasi besar kepada kesejahteraan sosial dan kestabilan ekonomi setempat.
Mohd Aiman Muhamad Yusof, 22, dari Kampung Cabang Bagus di sini, berkata projek itu perlu menjadi agenda utama di peringkat negeri dan Persekutuan, khususnya dalam konteks ketahanan iklim dan pengurusan bencana.
“Kawasan ini hampir setiap tahun terjejas apabila tiba musim tengkujuh. Pendekatan penyelesaian jangka panjang seperti projek tebatan banjir amat diperlukan untuk mengurangkan kerosakan aset awam dan harta benda penduduk,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Mohd Aiman menegaskan bahawa penyelarasan antara agensi Persekutuan dan negeri perlu diberi keutamaan agar perancangan infrastruktur tidak tergendala akibat perbezaan dasar atau keutamaan politik.
Mengulas lanjut, dia berkata keputusan tersebut amat bertepatan kerana pelaksanaan segera bukan sahaja dapat melindungi nyawa dan harta benda malah mengurangkan kebergantungan terhadap dana bantuan pascabencana setiap tahun.
“Jika projek ini direalisasikan, perbelanjaan kerajaan boleh dialihkan kepada sektor lain yang memberi kesan pembangunan lebih meluas,” katanya.
Sementara itu, Darul Hisham Mat Noor, 52, dari Kampung Gual Mesa di sini, berkata projek tebatan banjir perlu disandarkan kepada unjuran risiko jangka panjang dan pertumbuhan kawasan setempat.
“Setahun tiga hingga empat kali kami berdepan dengan paras air yang tinggi. Ia bukan lagi bencana luar jangka, sebaliknya sudah menjadi rutin tahunan yang perlu ditangani secara sistematik,” katanya.
Darul Hisham berkata ketidaktentuan akibat banjir juga memberi kesan kepada kepercayaan pelabur dan menyukarkan perancangan pembangunan jangka panjang di kawasan sempadan itu.
Bagi peniaga makanan di pekan Rantau Panjang, Muhamad Kharimi Arif, isu banjir memberi kesan langsung kepada operasi perniagaan termasuk bekalan barangan, kunjungan pelanggan dan kestabilan pendapatan.
“Pekan ini menjadi hab ekonomi penting di Kelantan, khususnya dalam sektor borong dan runcit. Jika infrastruktur asas seperti tebatan banjir tidak disediakan, potensi ekonomi tidak dapat dimaksimumkan,” katanya.
Muhamad Kharimi turut berharap proses pelaksanaan tidak terganggu dengan hal teknikal atau pentadbiran kerana kelewatan hanya akan mengekalkan status quo yang merugikan semua pihak.
Pada 12 April lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor kerajaan Persekutuan memutuskan untuk menyegerakan projek tebatan banjir di Kelantan bagi mengelak masalah banjir saban tahun yang menjejaskan kehidupan rakyat negeri itu.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata ini termasuk melihat kepada beberapa kaedah baharu yang bukan sahaja untuk menangani masalah banjir tetapi juga isu ketiadaan air apabila tiba musim kemarau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial