AM > BERITA

KEDA Peruntuk RM1.4 Juta Untuk Program Pendampingan

20/04/2025 06:56 PM

ALOR SETAR, 20 April (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) memperuntukkan RM1.4 juta bagi melaksanakan Program Pendampingan KEDA dalam usaha meningkatkan dan membangunkan sosioekonomi masyarakat kampung di negeri ini.

Pengerusi KEDA Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata program yang telah dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu itu akan diteruskan, dan merupakan antara fokus utama KEDA dalam menyantuni masyarakat di kawasan operasinya menerusi aktiviti Pembangunan Minda Insan dan Pengajian Sepanjang Hayat.

"Sebagai agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), KEDA dipertanggungjawabkan dalam pelbagai aspek pembangunan sosioekonomi, pembasmian kemiskinan dan menyeimbangkan pembangunan fizikal antara bandar dan luar bandar.

"Pelbagai aktiviti berunsur kerohanian dijalankan antaranya Program Pengimarahan Ramadan dan Aidilfitri, Program Khatan Perdana, Daurah Kitab dan Program Pengurusan Sisa Pepejal di Desa KEDA. Inilah pendampingan yang kita mahu kekalkan dan tambah baik demi kesejahteraan masyarakat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Sambutan Aidilfitri KEDA di sini, hari ini.

Beliau berkata usaha itu turut mencerminkan peranan KEDA sebagai agensi penting dalam memperkukuhkan nilai agama dan jatidiri masyarakat luar bandar secara holistik selari dengan objektif mempercapat pembangunan yang seimbang antara bandar dan desa.

"Mungkin KEDA bukan pemain utama kepada pengukuhan agama tetapi kami sentiasa optimis sebagai 'penyokong besar' kepada kebaikan untuk masyarakat luar bandar agar elemen kesejahteraan tertumpu kepada aspek fizikal dan batiniah," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan