AM > BERITA

Bursa Malaysia Ditutup Hampir Tidak Berubah Berikutan Dagangan Hambar

21/04/2025 07:14 PM

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Indeks penanda aras Bursa Malaysia ditutup hampir tidak berubah di bawah paras 1,500 pada Isnin apabila pelabur menyeimbangkan antara ketidaktentuan global yang berterusan dengan tanda-tanda daya tahan domestik, kata penganalisis.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.07 mata kepada 1,499.47 daripada 1,499.40 ketika ditutup pada Jumaat lepas.

Indeks penanda aras itu dibuka 2.68 mata lebih tinggi kepada paras tertinggi harian 1,502.08 dan mencecah paras terendah harian pada 1,494.27 pada awal petang.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 512 berbanding 308, manakala 463 kaunter tidak berubah, 1,142 kaunter tidak diniagakan dan 39 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 1.53 bilion unit bernilai RM1.19 bilion daripada 1.69 bilion unit bernilai RM1.24 bilion pada Jumaat.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata walaupun cabaran luar termasuk rundingan perdagangan dan kebolehubahan data ekonomi terus membentuk sentimen, aktiviti pasaran hari ini dilihat sebagai jeda semula jadi susulan lantunan sebanyak 3.0 peratus minggu lepas.

Beliau berkata penyederhanaan mungkin bersifat sementara kerana pasaran sedang memahami kenaikan baru-baru ini dan menunggu kejelasan lanjut mengenai perkembangan utama.

Kebanyakan nada semasa pasaran mencerminkan sikap berhati-hati pelabur terhadap agenda tarif yang berubah-ubah di bawah pentadbiran Presiden AS Donald Trump, katanya.

“Perbincangan peringkat tinggi yang sedang diadakan dengan Jepun dan Indonesia, bersama rundingan akan datang melibatkan Korea Selatan dan Malaysia yang dijadualkan pada 24 April, menunjukkan kerjasama diplomatik yang penting.

“Meskipun ketiadaan rangka kerja tarif yang muktamad untuk mengekalkan spekulasi, rundingan ini boleh menjadi asas kepada dinamik perdagangan yang lebih stabil,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata sebarang kemajuan yang bersifat konstruktif, terutama dalam perjanjian dua hala, mungkin meredakan kebimbangan pelabur dan memberikan petunjuk yang sangat diperlukan untuk sektor yang bergantung kepada eksport.

Antara kaunter bewajaran tinggi, Public Bank naik satu sen kepada RM4.40, Hong Leong Bank meningkat 14 sen kepada RM19.98, CelcomDigi menambah lapan sen kepada RM3.67, manakala IHH Healthcare dan Petronas Gas masing-masing kekal tidak berubah pada RM6.89 dan RM16.90.

Maybank susut empat sen kepada RM9.98, sementara Tenaga Nasional dan CIMB masing-masing turun dua sen kepada RM13.48 dan RM6.86.

Bagi kaunter aktif, NexG meningkat 2.5 sen kepada 34.5 sen, Magma naik 7.5 sen kepada 37 sen, Peterlabs menokok 4.5 sen kepada 29.5 sen, Ingenieur Gudang dan MY E.G masing-masing kekal tidak berubah pada empat sen dan 91 sen, manakala Tanco dan Velesto masing-masing susut satu sen kepada 88 sen dan 15 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 26.11 mata kepada 11,095.39, Indeks FBMT 100 susut 19.02 mata kepada 10,885.71, Indeks FBM Emas Syariah turun 25.06 mata kepada 10,885.07, Indeks FBM 70 jatuh 105.39 mata kepada 15,508.24, dan Indeks FBM ACE menyusut 9.18 mata kepada 4,566.20.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 24.37 mata kepada 18,009.15, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 1.05 mata kepada 144.03, Indeks Tenaga turun 5.86 mata kepada 660.01, manakala Indeks Perladangan merosot 15.25 mata kepada 7,211.13.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama turun kepada 1.08 bilion unit bernilai RM1.09 bilion daripada 1.22 bilion unit bernilai RM1.14 bilion pada Jumaat lepas.

Jumlah dagangan waran susut kepada 155.08 juta unit bernilai RM96.06 juta daripada 173.07 juta unit bernilai RM96.45 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 301.51 juta unit bernilai RM91.09 juta daripada 295.24 juta unit bernilai RM94.17 juta pada Jumaat lepas.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 176.74 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (221.82 juta), pembinaan (91.41 juta), teknologi (165.67 juta), SPAC (tiada), perkhidmatan kewangan (43.91 juta), hartanah (131.81 juta), perladangan (11.53 juta), REIT (93.82 juta), dana tertutup (2,300), tenaga (91.36 juta), penjagaan kesihatan (54.34 juta), telekomunikasi dan media (26.38 juta), pengangkutan dan logistik (23.93 juta), utiliti (29.68 juta), dan amanah perniagaan (6,700).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan