AM > BERITA

Kembara Pahang 1.0: Al-Sultan Abdullah Terharu Sambutan Rakyat Di Maran, Temerloh

21/04/2025 10:25 PM

TEMERLOH, 21 April (Bernama) -- Program Kembara Pahang 1.0 Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang membuka tirainya hari ini menyaksikan sambutan hangat diberikan rakyat di daerah Maran dan Temerloh.

Pada hari pertama program, Al-Sultan Abdullah bersama Tunku Azizah dan Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berkenan berangkat menjelajah beberapa lokasi di dua daerah itu sambil beramah mesra dengan rakyat yang kelihatan gembira melihat keluarga diraja itu secara dekat. 

Pelbagai acara bagi memeriahkan program itu turut diadakan antaranya kurniaan sumbangan kepada asnaf, kenduri rakyat, sukan rakyat dan karnival masakan patin. 

Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa amat terharu dengan sambutan yang diberikan oleh rakyat kerana sanggup menunggu baginda dan rombongan meskipun berhadapan cuaca tidak menentu.

"Alhamdulillah sambutan diberikan begitu baik dan saya berterima kasih kepada semua yang sanggup menunggu walaupun dalam cuaca panas mahupun hujan. Saya memuji semangat mereka menunggu," titah baginda ketika ditemui pemberita di Dataran Temerloh di sini hari ini.

Sultan Pahang bertitah selain menyantuni rakyat, objektif utama program menjelajah empat daerah iaitu Maran, Temerloh, Bera dan Pekan adalah untuk melalui jalan yang belum pernah baginda lalui sebelum ini.

"Saya hendak tengok kawasan-kawasan yang saya tidak pernah sampai, contoh tadi laluan di tepi sungai semua itu. Saya juga ingin melihat keadaan jalan di sana sama ada elok atau tidak," titah baginda. 

Kembara Pahang 1.0 yang melibatkan jarak perjalanan 428 kilometer (km) akan menuju ke daerah Bera esok sebelum berakhir di Pekan pada Rabu. 

Dalam pada itu, baginda turut menasihatkan agar penternak ikan patin di Temerloh menjaga kualiti ternakan mereka bagi menarik lebih ramai pelancong ke daerah itu yang sememangnya terkenal dengan hidangan ikan berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan