KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memperluas penggunaan Sistem e-Janji Temu kepada pegawai yang bertanggungjawab mengendalikan kes pembayar cukai bagi memastikan urusan percukaian dilaksanakan lebih cekap, sistematik dan efisien.
LHDN dalam kenyataan hari ini memaklumkan mulai 1 Mei ini, pembayar cukai yang menerima surat atau notis melalui peti surat di portal MyTax dan memerlukan penjelasan lanjut boleh membuat janji temu dengan pegawai bertanggungjawab menerusi Sistem e-Janji Temu di portal berkenaan.
“Peluasan sistem e-Janji Temu ini memberi alternatif kepada pembayar cukai untuk berurusan dengan LHDN sama ada menghadiri sesi janji temu secara bersemuka di Pejabat LHDN atau berurusan secara dalam talian mengikut kesesuaian masing-masing.
“Diharap dengan peluasan inisiatif ini dapat membantu pembayar cukai merancang dan mengurus hal-hal percukaian dengan lebih efektif, menjimatkan masa serta meningkatkan keberkesanan komunikasi pembayar cukai dengan pegawai LHDN, sekali gus memperkasakan penyampaian perkhidmatan LHDN kepada rakyat,” menurut kenyataan itu.
Pelaksanaan Sistem e-Janji Temu diperkenalkan mulai 1 Jan 2023 bagi memudahkan pembayar cukai mendapatkan perkhidmatan percukaian di semua Kaunter Perkhidmatan LHDN.
Keberkesanan sistem itu mendorong perluasan fungsinya pada 8 Mac 2024 yang membolehkan majikan mengemukakan permohonan perkhidmatan kaunter luar, sekali gus menawarkan fleksibiliti dalam perkhidmatan percukaian kepada pelanggan.
"Orang ramai yang mempunyai pertanyaan boleh menghubungi Hasil Contact Centre (HCC) di talian 03-89111000 / 603-8911 1000 (Luar Negara), HASiL Live Chat dan Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDN di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public/,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial