DUNIA > BERITA

MALAYSIA TEGASKAN KOMITMEN TERHADAP KEADILAN DAN KEAMANAN MAMPAN BUAT PALESTIN

22/04/2025 10:46 PM

KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Malaysia terus menegaskan peranannya sebagai suara berprinsip di peringkat antarabangsa dan komitmennya yang tidak berbelah bahagi terhadap keadilan buat Palestin, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.

Beliau berkata pendirian Malaysia dibentuk menerusi sokongan konsisten Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di platform seperti ASEAN, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), menerusi pendekatan multilateralisme strategik yang selari dengan nilai nasional serta prinsip sejagat.

“Tindakan Malaysia mencerminkan konsep kuasa normatif yang tidak bergantung kepada kekuatan ketenteraan, tetapi kepada kewibawaan moral, bantuan kemanusiaan dan diplomasi berprinsip.

“Sebagai tanda solidariti dengan negara-negara Selatan Global, Malaysia terus menggerakkan sokongan ke arah keamanan yang adil dan berkekalan di Palestin, termasuk menyeru sekatan, gencatan senjata dan akauntabiliti undang-undang,” katanya dalam ucaptama pada Sesi Meja Bulat – Ke Arah Keamanan Mampan di Gaza, di sini pada Selasa.

Perbincangan anjuran Institut Antarabangsa Kajian Tinggi Islam (IAIS) Malaysia dan Akademi Profesor Malaysia (APM) itu menghimpunkan pegawai kanan, pakar dasar, ahli akademik dan pemimpin masyarakat sivil bagi membincangkan usaha jangka panjang membina keamanan serta mekanisme undang-undang antarabangsa dalam menangani krisis kemanusiaan yang berterusan di Gaza.

Dalam membicarakan keperluan membina keamanan jangka panjang, Zulkifli turut menyuarakan gesaan supaya doktrin Tanggungjawab untuk Melindungi (R2P) dilaksanakan sepenuhnya bagi mengelak kekejaman berulang dan melindungi golongan rentan.

“Kita mesti terus memberi tumpuan kepada dialog inklusif dan pembinaan keamanan jangka panjang,” katanya.

Sesi itu turut mencapai beberapa resolusi berpaksikan dasar dan berorientasikan rakyat yang merangkumi empat teras utama, iaitu pendidikan, penjagaan kesihatan, perpaduan sosial dan tadbir urus.

Cadangan berkenaan merangkumi intervensi jangka pendek, sederhana dan panjang yang boleh dilaksanakan Malaysia secara bersendirian atau bersama komuniti antarabangsa.

-- BERNAMA


 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan