AM > BERITA

Kardinal Dari Malaysia Mengundi Dalam Pemilihan Paus Baharu

22/04/2025 05:59 PM

Oleh Wong Chun Wai

KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Susulan kematian Paus Francis, Paus seterusnya akan dipilih oleh Kolej Kardinal yang merupakan barisan paderi paling senior dalam Gereja Katolik, dan daripada 135 orang pengundi ini, seorang daripada mereka adalah rakyat Malaysia.

Kardinal-kardinal yang layak mengundi itu kini sedang menuju ke konklaf, yang berasal dari perkataan Latin cum clave, bermaksud “dengan kunci” – merujuk kepada proses pemilihan Paus yang tertutup dan rahsia.

Datuk Seri Sebastian Francis, yang dilahirkan di Johor, akan menyertai rakan-rakannya dari seluruh dunia untuk proses pengundian tersebut.

Paderi berusia 73 tahun itu, kini menetap di Pulau Pinang dan telah menjadi Biskop Pulau Pinang sejak 2011.

Beliau dinaikkan sebagai kardinal pada September 2023 oleh Paus Francis. Beliau merupakan kardinal kedua dari Malaysia selepas mendiang Anthony Soter Fernandez.

Bekas Presiden Persatuan Peguam Katolik Malaysia Datuk Joy Appukuttan berkata semasa pentadbiran Paus Francis, “kita telah menyaksikan ramai kardinal daripada negara-negara kecil dilantik.

“Malaysia dan Singapura juga ada. Kardinal (Sebastian) Francis merupakan seorang daripadanya dan perlu menghadiri konklaf tidak lama lagi,” katanya.

Satu sumber lain berkata “Kardinal Sebastian kini dalam perjalanan ke Rome untuk pemilihan Paus baru.”

Kawasan Biskop Pulau Pinang dalam catatan di laman webnya menyatakan bahawa kepercayaan peribadi Francis ialah “seseorang perlu mempunyai kematangan emosi dan kemanusiaan yang baik, bersikap terbuka kepada pemikiran kreatif dan inklusif, terutama terhadap perbezaan etnik, kaum dan agama.”

Akhbar The Guardian melaporkan terdapat lebih 250 orang kardinal daripada lebih 90 negara, namun hanya kira-kira 135 merupakan pengundi kardinal (mereka yang berusia lebih 80 tahun tidak layak).

“Kira-kira 110 daripada pengundi kardinal telah dilantik oleh Paus Francis dalam tempoh 10 tahun lepas, mencerminkan visinya terhadap gereja yang lebih inklusif.

“Sebaik para kardinal berkumpul di Rom, biasanya 15-20 hari selepas kematian Paus, mereka akan berhimpun di bawah siling dihiasi lukisan Michelangelo di Gereja Kecil Sistine, untuk memulakan perbincangan.

“Selepas ungkapan extra omnes – semua keluar – diumumkan, merujuk kepada semua kecuali pengundi kardinal, serta beberapa pegawai dan doktor, pintu akan dikunci.

“Para kardinal akan mengangkat sumpah kerahsiaan dan tidak dibenarkan berhubung dengan dunia luar sepanjang proses pemilihan. Telefon akan diambil dan tiada surat khabar, televisyen, surat mahupun mesej dibenarkan. Gereja itu juga akan diperiksa untuk peranti pengintipan sebelum dan semasa konklaf,”  menurut The Guardian.

Undian akan diteruskan sehingga seorang calon memperoleh majoriti dua pertiga, bermakna akan ada beberapa pusingan penyingkiran.

Pada ketika pengundian itu adalah rahsia, The Guardian melaporkan bahawa “ini tidak bermaksud proses ini bebas daripada perpecahan puak, taktik licik dan proses melobi.”

Selepas setiap pusingan undian, kertas undian dibakar – asap hitam akan keluar daripada cerobong setinggi 60 kaki menandakan keputusan masih belum dicapai; manakala asap putih akan menandakan kepada dunia bahawa seorang Paus baharu telah dipilih. Pemilihan ini mendapat perhatian global kerana Paus dianggap sebagai ketua kepada 1.37 bilion umat Katolik.

Paus Francis, seorang warga Argentina dan merupakan seorang Paus Latin Amerika pertama, terkenal kerana memperjuangkan keadilan sosial, isu alam sekitar serta sokongannya terhadap rakyat Palestin.

Dalam ucapan Hari Easter minggu lepas, beliau menyatakan “kedekatannya terhadap penderitaan umat Kristian di Palestin dan Israel, serta semua rakyat Israel dan rakyat Palestin.”

Beliau secara berterusan mengkritik tindakan ketenteraan Israel di Gaza, khususnya pembunuhan rakyat Palestin dan dalam sebuah video yang dimuat naik di media sosial, beliau kelihatan menghubungi para paderi Katolik di Palestin, untuk bertanya khabar mereka pada ketika mereka diserang.

-- BERNAMA

 

*Datuk Seri Wong Chun Wai, seorang wartawan veteran, merupakan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama)

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan