AM > BERITA

Kerajaan Kelantan Gesa KADA Segera Baiki 'Sheet Pile' Di Kemubu

23/04/2025 01:25 PM

KOTA BHARU, 23 April (Bernama) -- Kerajaan Kelantan menggesa Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) supaya menyegerakan kerja-kerja pembaikan benteng sementara jenis cerucuk keping (sheet pile) di Stesen Pam Kemubu seperti dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK).

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi negeri Datuk Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata isu bekalan air ke kawasan tanaman padi dijangka ditangani selepas kerja-kerja pembaikan itu disiapkan.

Beliau berkata Mesyuarat MMK pada 12 Mac lepas bersetuju dengan cadangan kerja-kerja segera bagi mengukuhkan benteng sementara cerucuk keping di Stesen Pam Kemubu, di sini.

“Selain itu, Jabatan Saliran dan Pengairan negeri sentiasa memastikan pam di skim bendang padi di bawah seliaannya, termasuk pam sokongan berada dalam keadaan baik dan beroperasi dengan sempurna,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Abdul Rahman Yunus (PAS-Pasir Tumboh) berhubung langkah konkrit antara kerajaan negeri dan KADA bagi memastikan bekalan air mencukupi untuk petani semasa musim kemarau pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan wakil rakyat sama mengenai penggunaan varieti benih padi yang sesuai dengan cuaca di Kelantan, Tuan Mohd Saripudin berkata empat varieti padi iaitu MR297, MR269, MR220 CL2 dan MR315 keluaran Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah ditanam di negeri ini. 

Beliau berkata sebanyak 73 peratus daripada kawasan penanaman padi menggunakan varieti MR297 yang dikenal pasti tahan karah dan penyakit tungro.

“MARDI turut mengisytiharkan varieti baharu MR326 pada tahun ini namun ia masih belum ditanam di manakala varieti tahan banjir dan kemarau kini dalam fasa penyelidikan serta penilaian,” katanya.

Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani (BN-Nenggiri) mengenai dakwaan bahawa kerja pengorekan pasir bagi projek pembangunan Lembah Sireh menjejaskan paras air Sungai Kelantan, beliau berkata aktiviti itu tidak mengganggu operasi pam kerana dijalankan mengikut garis panduan ditetapkan.

“Tahun lepas hasil padi merosot kerana kemarau dan kekurangan bekalan air, masalah ini boleh diselesaikan jika kerja pembaikan disegerakan dan kita harap ia siap sebelum musim kedua tahun ini supaya tidak menjejaskan pesawah,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan