Oleh Kenny Teng
BANGKOK, 23 April (Bernama) -- Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT) mengumumkan kerjasama dengan StarDream Cruises bagi memperkukuh kedudukan Thailand dalam sektor pelancongan kapal persiaran antarabangsa menerusi pelancaran kapal mewah Star Voyager pada Selasa.
Buat julung kalinya, Star Voyager - kapal persiaran mewah yang telah dinaik taraf sepenuhnya dan mampu menampung sekitar 1,940 tetamu - akan beroperasi dengan Thailand sebagai pelabuhan pangkalannya.
Timbalan Gabenor TAT bagi Pemasaran Antarabangsa - Asia dan Pasifik Selatan, Pattaraanong Na Chiangmai, menyifatkan pelancaran itu sebagai satu pencapaian penting dalam sektor pelancongan negara.
“Pelancaran Star Voyager menandakan langkah signifikan dalam usaha kami memperkukuh sektor pelancongan dan maritim Thailand, sejajar dengan dasar negara dan objektif Amazing Thailand Grand Tourism and Sports Year 2025.
Kejayaan ini mencerminkan komitmen padu semua pihak yang terlibat dalam merealisasikan visi ini,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan menerusi laman sesawang TAT News pada Rabu.
Beliau beerkata bahawa pelayaran sulung Star Voyager turut mencerminkan kebangkitan semula jenama StarCruises serta memperkukuh peranan Thailand sebagai hab pelayaran utama di Asia Tenggara.
Sementara itu, Presiden StarDream Cruises Michael Goh menyatakan keterujaannya kerana dapat memulakan operasi Star Voyager dari Bangkok, selari dengan usaha memperkenalkan semula jenama StarCruises di Thailand.
“Pelancaran ini merupakan langkah besar dalam merealisasikan visi kami untuk menjadikan Thailand sebagai hab pelayaran di Asia Tenggara. Melalui penempatan serantau ini, kami berharap dapat menarik pelancong dari pelbagai latar belakang sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi pelancongan negara,” katanya.
Beliau memaklumkan kapal itu kini menawarkan pengalaman pelayaran premium daripada Pelabuhan Laem Chabang selepas menjalani kerja naik taraf bernilai US$50 juta.
Star Voyager kini mengendalikan dua pelayaran eksklusif selama lima malam bermula 22 April, dan mulai 7 Mei, akan beroperasi di laluan Laem Chabang - Ko Samui - Singapura - Laem Chabang, menawarkan pengalaman pelancongan menarik yang menampilkan budaya dan hospitaliti Thai.
Pada 2024, Thailand menerima 162 persinggahan kapal persiaran yang membawa lebih 379,000 penumpang dan menjana pendapatan sebanyak 1.89 bilion baht - peningkatan 6.9 peratus berbanding tahun sebelumnya, menurut Pusat Kawalan Penguatkuasaan Maritim Thailand.
Pelabuhan paling sibuk termasuk Teluk Patong, Laem Chabang, Ko Samui, Pelabuhan Laut Dalam Phuket dan Pelabuhan Sriracha, dengan pelancong kebanyakannya tiba dari Singapura, United Kingdom, Malaysia, Amerika Syarikat dan Jerman.
StarDream Cruises merupakan jenama baharu di bawah Resorts World Cruises, yang diperkenalkan sebagai sebahagian usaha memulihkan semula industri kapal persiaran.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial