AM > BERITA

Penduduk Taman Sri Alam Minta Kerja Baik Pulih Benteng Kolam Takungan Disegerakan

23/04/2025 03:21 PM

SUNGAI BULOH, 23 April (Bernama) -- Penduduk Taman Sri Alam di Saujana Putra di sini meminta pihak berkaitan supaya kerja-kerja membaiki benteng kolam takungan air yang sekali lagi pecah awal pagi tadi disegerakan, agar kejadian itu tidak berulang.

Muhamad Akmal Abdul Ghani, 39, berkata kemajuan kerja membaiki benteng kolam takungan itu yang pecah pada 29 Dis lepas, berhenti sejak Februari selepas kerja menanam cerucuk selesai.

Beliau berkata penduduk difahamkan kerja membaiki benteng berkenaan ditangguhkan sementara, menunggu penilaian lanjut daripada agensi dan pihak berkaitan.

Mengulas mengenai kejadian awal pagi tadi, Muhamad Akmal berkata beliau memyedari rumahnya yang terletak 10 meter daripada benteng kolam tadahan itu dimasuki air pada kira-kira 6 pagi.

“Ketika itu saya perasan air telah memasuki bahagian depan rumah di ruang tamu setinggi satu kaki (0.3 meter) dan saya melihat keluar rumah mendapati ada bahagian benteng yang telah pecah, mengakibatkan air mengalir keluar deras,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini hari ini.

Sementara itu, Surain Husain, 33, pula berkata pihak penduduk sudah beberapa kali meminta pihak berkaitan supaya segera menyiapkan kerja-kerja membaiki benteng itu.

“Saya berharap benteng ini akan dibaiki sebaik mungkin dan dibuat lebih tinggi, kerana jumlah air yang berada di dalam kolam takungan itu amat banyak jika hujan lebat seperti malam tadi,” katanya.

“Hujan mula turun sekitar 3 pagi tadi ketika kami tengah nyenyak tidur, tiba-tiba pada 6 pagi jiran ketuk pintu beritahu air dah masuk. Saya keluar tengok air sudah memenuhi perkarangan rumah,” katanya.

Terdahulu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor memaklumkan benteng kolam takungan air di taman berkenaan, pecah lagi awal pagi tadi susulan hujan lebat dan menjejaskan 35 buah rumah berhampiran.

Ia merupakan kali ketiga benteng berkenaan pecah selepas kejadian pertama pada 2014 dan pada 29 Dis lepas, kejadian sama berlaku menyebabkan 200 buah rumah di taman berkenaan terjejas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan