AM > BERITA

Hanya RM1.50 Mi Sanggul Kuah Kacang Jadi Tarikan Di Tapah Road

23/04/2025 07:20 PM

Oleh Syed Iylia Hariz Al-Qadri Syed Izman

TAPAH, 23 April (Bernama) -- Di sebalik kenaikan harga barangan, sebuah gerai makanan di Kampung Haji Hassan, Tapah Road di sini, menjual mi sanggul kuah kacang hanya pada harga RM1.50 sepinggan.

Mengekalkan resipi warisan turun-temurun sejak lebih 80 tahun lepas, gerai ‘Yeop Din’ sememangnya menjadi tumpuan penduduk sekitar kawasan Parlimen Tapah yang ingin merasai keenakan makanan itu pada harga tidak masuk akal.

Pemilik gerai Suriati Shairi, 41, berkata dia menjual mi sanggul kuah kacang pada harga RM1 sejak 2003 namun menaikkan harga sebanyak 50 sen pada dua minggu lepas. 

“Ramai yang terkejut dengan harga ini dan mempersoalkan boleh ke saya dapat untung? Alhamdulillah, rezeki sentiasa cukup. Saya juga mampu menghantar anak sulung saya ke Universiti Malaysia Terengganu,” katanya kepada Bernama.

Suriati berkata penyediaan bahan bagi membuat makanan itu tidak rumit kerana hanya menggunakan, antaranya mi, kacang, minyak dan kicap namun keunikan menu berkenaan terletak pada dua bahan utama iaitu mi sanggul dan kuah kacang.

Mi sanggul berkenaan ditempah khas dari Teluk Intan, diadun menggunakan kaedah tradisional yang menghasilkan tekstur kenyal dan halus.

“Dulu kami buat sendiri mi sanggul itu, tetapi kerana kekangan masa dan pekerja, kami beli walaupun rasanya sedikit lain, tetapi rahsia utama masakan ini adalah kuah kacang istimewa kami. Apabila (kuah kacang) digaul dengan mi sanggul yang direbus dan digoreng, rasa dia memang luar biasa,” katanya.

Suriati berkata resipi berkenaan berasal daripada nenek suaminya Allahyarham Ramlah Hassan yang juga anak kepada peneroka awal Kampung Haji Hassan.

Sekitar 1940-an, Ramlah menjual makanan itu yang dianggap sebagai makanan segera (fast food) kerana penyediaannya yang pantas dan mudah dinikmati. 

Bagi pelanggan setia gerai Yeop Din, Mohamad Zaifarul Zainal Abidin, 48,  kombinasi mi sanggul goreng dengan kuah kacang yang jarang ditemukan di tempat lain, menjadikan hidangan itu cukup istimewa.

"Orang luar dari kawasan ini mungkin rasa pelik makan mi sanggul goreng dengan kuah kacang, tetapi lepas rasa sendiri, memang sedap," katanya.

Amirudin Mohamad Ali, 58, berkata menjamu mi sanggul kuah kacang mengimbau zaman kanak-kanaknya.

“Waktu dulu emak saya akan bungkus mi sanggul dalam daun pisang, letak dalam dulang rotan, makan beramai-ramai dengan adik-beradik," katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan