JOHOR BAHRU, 23 April (Bernama) -- Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Dr Mohd Shafry Mohd Rahim komited memperkasakan misi universiti ke arah kecemerlangan bertaraf global dengan pendekatan strategik dan inklusif sepanjang 100 hari pertama pentadbirannya.
Pejabat Strategi dan Hal Ehwal Korporat UTM dalam kenyataan hari ini memaklumkan Naib Canselor UTM yang kelapan itu memacu pelbagai agenda transformasi institusi dalam memperkukuh kedudukan universiti berkenaan sebagai institusi pendidikan tinggi terunggul di rantau ini.
Menurut kenyataan itu, antara pencapaian utama termasuk memperluas jaringan antarabangsa yang membuka laluan kerjasama dalam bidang aeroangkasa, falsafah dan kecerdasan buatan (AI) menerusi pertukaran staf serta pelajar di peringkat global.
“Inisiatif ini digerakkan melalui pelbagai lawatan ke universiti luar negara dan penyertaan aktif dalam forum pendidikan tinggi antarabangsa seperti Sidang Kemuncak Pendidikan Tinggi Eurasia (EURIE) 2025 di Turkiye.
“Hasil daripada usaha itu, UTM berjaya menjalin 12 jaringan strategik dengan institusi antarabangsa termasuk menerusi SATU President Forum Taiwan, Anhui Normal University, Samarkand State University dan Fergana Polytechnical University, sekali gus memperkukuh kedudukan UTM dalam jaringan pendidikan global,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan, UTM turut memegang peranan penting dalam agenda nasional AI apabila dilantik sebagai peneraju utama kepada Konsortium Kecerdasan Buatan Malaysia (MAIC).
Pada masa sama, UTM turut memainkan peranan penting dalam pewujudan Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO), sekali gus memperkukuh posisi universiti dalam landskap AI di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Dalam konteks kerjasama di peringkat negeri pula, hubungan strategik dengan Kerajaan Johor turut diperkukuh, khususnya dalam konteks pendidikan dan pembangunan sumber tenaga kerja termasuk memberikan penekanan kepada pemerkasaan graduan UTM berkemahiran tinggi serta latihan peningkatan kapasiti penjawat awam yang berkhidmat di universiti ini.
“Kerjasama dengan pihak industri juga diberi perhatian apabila UTM menandatangani beberapa memorandum persefahaman (MoU) penting bersama syarikat-syarikat seperti AIR TRUNK, DHL, Polygon Synergy Ventures Sdn Bhd dan Mojitek Sdn Bhd, di samping sesi lawatan strategik ke Batik Air yang bertujuan meneroka potensi kerjasama jangka panjang,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu juga memaklumkan, semangat kebersamaan turut dizahirkan melalui sumbangan kepada Tabung Endowmen UTM dengan jumlah terkumpul RM584,865.
Antara penyumbang utama termasuk Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), MBSB Bank Berhad, RHB Islamic Bank Sdn Bhd serta tokoh ilmuwan dan profesional negara Datuk Seri Dr Zaini Ujang, selain jalinan libat urus bersama alumni UTM turut menjadi keutamaan.
“Melalui penglibatan aktif alumni dalam pelbagai aktiviti universiti, hubungan yang lebih erat dapat dijalin bagi memperkukuh sokongan terhadap UTM. Selain itu, usaha ini juga bertujuan mempertingkatkan sumbangan kepada Tabung Endowmen Pendidikan Pelajar, sebagai simbol ikatan istimewa yang terjalin antara alumni dan universiti,” menurut kenyataan itu.
Dalam kenyataan sama, Mohd Shafry juga menggariskan tiga fokus utama pasca 100 hari pentadbirannya, dengan fokus pertama ialah pengukuhan jiwa warga universiti melalui pemerkasaan budaya hikmah yang mengangkat karamah insaniah, melahirkan warga berilmu dan berupaya menyelesaikan isu-isu kompleks ke arah kelestarian serta kemanusiaan sejagat.
“Fokus kedua pula ialah transformasi organisasi yang menekankan kepada inovasi, optimasi dan transformasi berterusan, termasuk semakan semula proses kenaikan pangkat bagi memastikan penilaian yang lebih adil dan seimbang, manakala fokus ketiga pelaksanaan UTM Ascend 2030 iaitu pelan strategik UTM yang bakal memacu hala tuju universiti bagi tempoh lima tahun akan datang bermula 2026 hingga 2030, ke arah kecemerlangan menyeluruh institusi ini di peringkat global,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Mohd Shafry berkata pada 19 April lepas, genap 100 hari beliau menjalankan amanah sebagai Naib Canselor UTM yang kelapan.
“Dalam tempoh 100 hari ini, saya mempunyai satu hemat bahawa keutamaan paling tinggi harus saya berikan kepada warga UTM sendiri. Banyak inisiatif yang berjalan sepanjang tempoh ini, yang berlaku di pelbagai peringkat sama ada antarabangsa dan negara, serta negeri bahkan UTM sendiri,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial