KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare) telah melantik 16 perunding kanan sebagai ketua bidang kepakaran dan subkepakaran di rangkaian hospitalnya di seluruh negara sebagai komitmen terhadap kecemerlangan klinikal dan tumpuan lebih mendalam terhadap penjagaan pesakit.
KPJ Healthcare dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelantikan itu mencerminkan tekad rangkaian hospital itu dalam meningkatkan piawaian, memperkukuh tadbir urus klinikal serta menyatukan penyampaian penjagaan di kesemua 30 hospitalnya.
“Dengan menyelaras kepimpinan merentas bidang kepakaran serta menerapkan amalan terbaik, penyelidikan serta latihan secara seragam, inisiatif ini dijangka meningkatkan tahap konsistensi dan kualiti penjagaan di seluruh rangkaian KPJ Healthcare.
“Selaras dengan pembangunan KPJ Health System ke arah menjadi Sistem Kesihatan Akademik bersepadu yang menyeluruh, pelantikan ini akan memainkan peranan penting dalam mengintegrasikan penjagaan klinikal, pendidikan dan penyelidikan sekali gus menambah baik hasil dan pengalaman pesakit,” menurut kenyataan itu.
Perunding kanan yang dilantik antaranya ialah Perunding Kanan Anestesiologi dan Penjagaan Kritikal Datuk Dr Azhar Mohd Noh, Perunding Kanan Pembedahan Neurologi Prof (C) Datuk Dr Zurin Adnan Abd Rahman serta Perunding Kanan Obstetrik dan Ginekologi Prof Dr Imelda Nasreen Nasruddin @ Balchin.
Selain itu, Perunding Kanan Perubatan Kecemasan Dr Nur Abdul Karim, Perunding Kanan Perubatan Dalaman Dr Mohd Shazli Draman @ Yusof, Perunding Kanan Pembedahan Kardiotaraks Prof (C) Dr Shahrul Amry Hashim dan Perunding Kanan Pembedahan Am Prof (C) Dr Mohamad Ismail Ali.
Kenyataan itu turut memaklumkan mereka yang baru dilantik itu akan memainkan peranan sebagai peneraju klinikal dalam bidang masing-masing, mempromosikan piawaian klinikal yang konsisten dan amalan terbaik di seluruh hospital KPJ Healthcare.
Tanggungjawab mereka termasuklah memberikan panduan dalam membuat keputusan dalam pelbagai disiplin dan menjadi rujukan utama bagi pasukan klinikal, mempromosikan amalan terbaik dan pendekatan rawatan yang selaras bagi meningkatkan konsistensi penjagaan, menyokong pembangunan bakat serta pendidikan perubatan dan menyumbang kepada penyelidikan berasaskan bukti melalui Pusat Penyelidikan dan Inovasi KPJ.
Dalam kenyataan sama, Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Chin Keat Chyuan yang mengalu-alukan pelantikan itu berkata kesemua perunding kanan yang dilantik merupakan tokoh yang diiktiraf dalam bidang masing-masing.
“Saya yakin kepakaran mereka akan membantu memperkukuh penyelarasan perkhidmatan klinikal di seluruh rangkaian KPJ.
“Usaha ini selari dengan komitmen jangka panjang kami untuk memperkukuh tadbir urus, menyeragamkan amalan klinikal serta meningkatkan kualiti rawatan, latihan dan hasil rawatan yang diterima oleh pesakit," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial