KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) menegaskan komitmennya untuk mentransformasikan landskap penjagaan kesihatan di Malaysia melalui pendigitalan, di samping menekankan bahawa masa depan penjagaan kesihatan tidak boleh dibangunkan secara berasingan.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata sebagai sebahagian daripada persediaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kerajaan sedang melaksanakan sistem pengurusan klinikal berasaskan awan (CCMS) serta inisiatif “Satu Individu, Satu Rekod Kesihatan” bagi menyelaras data pesakit dan memastikan akses masa nyata di seluruh fasiliti kesihatan awam dan swasta.
“Kami mengakui bahawa masa depan penjagaan kesihatan tidak boleh dibangunkan secara berasingan. Kemajuan penjagaan kesihatan moden bergantung kepada kerjasama rentas sempadan, kolaborasi dinamik antara sektor awam dan swasta serta perkongsian ilmu yang berterusan.
“Menerusi usaha bersama kita mampu mengubah kemajuan teknologi menjadi penyelesaian nyata yang dapat meningkatkan hasil kesihatan pesakit, memperkukuh keselamatan sistem kesihatan serta merapatkan ketidaksamaan dalam akses penjagaan kesihatan,” katanya berucap pada majlis perasmian Persidangan Farmaseutikal dan Penjagaan Kesihatan Asia Tenggara 2025 (SEACare 2025) di sini hari ini.
Persidangan bertemakan “Perkongsian Strategik dalam Inovasi Penjagaan Kesihatan: Memupuk Kerjasama untuk Transformasi Digital” dianjurkan Qube Integrated Malaysia Sdn Bhd dengan kerjasama Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) bermula hari ini hingga Jumaat ini.
SEACare 2025 menampilkan 130 jenama dari 13 negara dan pasaran, dengan 250 reruai serta mempamerkan inovasi terkini dalam bidang teknologi perubatan, biofarmaseutikal dan kesihatan digital.
Persidangan berkenaan antaranya menghimpunkan profesional penjagaan kesihatan dan pelopor industri untuk membincangkan isu kritikal daripada transformasi sistem kesihatan dan kesihatan digital hingga strategi pembiayaan inovatif.
“Seiring dengan penerimaan transformasi digital dan usaha menuju ke arah akses penjagaan kesihatan sejagat, SEACare 2025 memainkan peranan penting dalam mempercepat kerjasama rentas sempadan dan memajukan perkongsian antara sektor awam dan swasta. Melalui perkongsian ilmu dan tindakan bersama, kita dapat memperkukuh daya tahan penjagaan kesihatan ASEAN dan meningkatkan kualiti hidup,” katanya.
Majlis berkenaan turut menyaksikan penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) untuk Siri Simposium Kanser 2025 antara Pusat Perubatan Prince Court, Alliance Bank dan NCSM.
Selain itu menyaksikan pemeteraian MoU antara Qube dan Persatuan Pergigian Malaysia (MDA) untuk kerjasama strategik yang memperkenalkan komponen baharu untuk SEACare 2026 dengan menggabungkan Konvensyen Saintifik dan Pameran Perdagangan (SCATE) MDA.
Beberapa pengumuman penting turut dibuat pada majlis perasmian itu bagi mengukuhkan kerjasama penjagaan kesihatan serantau termasuk pelancaran Dana Zafar VC oleh rakan persidangan SEACare 2025 Five Pillar Venture Capital Sdn Bhd.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Qube Richard Teo dalam ucapannya berkata SEACare telah berkembang menjadi platform pemadanan perniagaan dinamik, memperkasakan jenama penjagaan kesihatan dan farmaseutikal untuk berhubung, menjalin rangkaian dan membina kerjasama strategik di seluruh Malaysia dan Asia Tenggara.
"Penjagaan kesihatan di rantau kita sedang berkembang pesat. Daripada pencapaian teknologi kepada peningkatan permintaan terhadap penjagaan yang mudah diakses dan mampan, kita berada pada masa yang penting dengan inovasi mesti memenuhi keperluan mendesak komuniti kita," katanya.
Teo berkata sebagai penganjur SEACare, Qube berbesar hati mengatur platform perniagaan penting itu dan tahun ini, pihaknya menambah baik dengan memfokuskan pada pemadanan perniagaan strategik, forum kepimpinan dan peluang rangkaian dipacu industri sekali gus memastikan setiap pempamer dan pengunjung memperoleh manfaat.
"Selain itu, kami berbangga dapat memperkukuh peranan SEACare sebagai penghubung penjagaan kesihatan global dengan sokongan daripada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) serta kolaborasi strategik dengan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan Malaysia dan NCSM.
Sementara itu, pengerusi penganjur persidangan dan Ketua Pengarah NCSM Prof Madya Dr Murallitharan Munisamy dalam ucapannya berkata sejumlah RM1 bilion Dana Zafar VC akan disalurkan bagi syarikat pemula inovatif di seluruh negara.
"Di sinilah kerjasama dengan agensi seperti MATRADE dan MDA diperlukan, sangat membantu pada masa kami cuba memajukan inovator dalam ruang ini," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial