AM > BERITA

TPM Fadillah Kongsi Detik Cemas Ketika Gempa Bumi Landa Istanbul

24/04/2025 01:41 AM

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Di sebalik jadual padat lawatan kerja ke Turkiye dan United Kingdom (UK), rombongan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof melalui detik cemas ketika berada di Istanbul, saat gempa bumi melanda dengan kekuatan 6.2 magnitud.

Dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook, Fadillah berkata ketika gempa bumi kuat menggegarkan Istanbul, beliau dan rombongan berada di Lapangan Terbang Istanbul untuk penerbangan ke London bagi meneruskan lawatan kerja di UK.

Sebagai langkah berjaga-jaga, beliau dan rombongan telah diarahkan keluar dari bangunan Terminal VIP.

“Gegaran pertama agak kuat dan selepas kira-kira 15 minit, kami diminta masuk semula ke dalam bangunan. Namun berlaku gegaran kedua yang tidak begitu kuat sejurus kemudian, dan kami diminta keluar bangunan sekali lagi untuk kira-kira 10 minit sebelum dibenarkan masuk semula,” katanya yang turut berkongsi gambar semasa kejadian itu.

Bagaimanapun Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menzahirkan rasa syukur kerana beliau dan rombongan selamat tiba di London pada 4 petang waktu tempatan, yang merupakan sambungan kepada lawatan kerja rasmi selama tiga hari di Turkiye.

Timbalan Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang bertanya khabar dan mendoakan keselamatan mereka sebaik berita mengenai gempa bumi itu tersebar.

Fadillah mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak mengenai Masa Depan Keselamatan Tenaga pada 24 hingga 25 April di London anjuran Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) dan kerajaan UK selepas mengakhiri lawatan kerja rasmi di Turkiye hari ini (23 April).

-- BERNAMA 

 

Fadillah Yusof, Timbalan Perdana Menteri, Turkiye, gempa, London


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan