AM > BERITA

Penstrukturan Semula Jawatan Antara Usaha KKM Tangani Isu Kekurangan Pakar - Lukanisman

24/04/2025 04:57 PM

GEORGE TOWN, 24 April (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mengambil beberapa usaha termasuk menstruktur semula jawatan pegawai perubatan dan melaksanakan kajian 'maldistribution of doctors' bagi menangani isu kekurangan pakar di fasiliti kesihatan negara ini, kata Timbalan Menterinya Datuk Lukanisman Awang Sauni.

Beliau berkata selain itu kelulusan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menambah 800 penjawatan pakar setiap tahun sejak 2023 juga berupaya untuk menampung keperluan pakar perubatan.

"Pada masa sama, kita juga telah meminda Akta Perubatan 1971 (Akta 50) dengan mewujudkan program ‘laluan Parallel’ bagi membolehkan lebih banyak pakar-pakar dapat dilahirkan melalui laluan alternatif ini.

"Ketika ini kita mempunyai lebih kurang 692 pakar yang menggunakan laluan parallel dan juga 6,211 orang pegawai perubatan sedang menjalani latihan kepakaran," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Miracle Baby Programme (Misi Kedua) di Hospital Pulau Pinang di sini hari ini.

Terdahulu Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan merasmikan program yang dilaksanakan melalui kerjasama Hospital Pulau Pinang, Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan Hospital Sri Sathya Sai Sanjeevani (SSSSH), India itu.

Sementara itu Lukanisman berkata KKM akan mewujudkan perkhidmatan Rakan KKM yang akan dilancarkan pada Julai ini dengan menyediakan 'ekonomi premium' kepada perkhidmatan dengan sedikit bayaran kepada fasiliti KKM yang diguna pakai berikutan berdepan dengan kemampuan pihak swasta untuk mengambil pakar perubatan hospital kerajaan. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan