KANGAR, 24 April (Bernama) -- Berkorban menjaga bapa yang terlantar di hospital akibat kemalangan jalan raya tidak menghalang Adib Azrif Norazamze, 18, dari Tasik Melati di Padang Besar untuk terus fokus menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 lepas, hingga akhirnya diumum sebagai antara pelajar cemerlang sekolahnya dengan keputusan 9A.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Derma di sini itu berkata bapanya Norazamze Teh, 47, yang bekerja sebagai penjaga stor baja serta mengambil upah memotong rumput, cedera serius selepas terbabit dalam kemalangan motosikal pada Ogos lepas, iaitu seminggu sebelum peperiksaan percubaan SPM bermula.
“Kemalangan itu menyebabkan paha kanan dan tangan kiri ayah patah serta berlaku sedikit pendarahan di otak hingga menyebabkan hilang ingatan jangka pendek. Saya dan abang bergilir-gilir jaga ayah di Hospital Tuanku Fauziah (di Kangar) dan rumah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Adib Azrif berkata dia menghabiskan banyak masa di hospital menemani bapanya dan menggunakan waktu tersebut untuk mengulang kaji pelajaran.
“Saya tak pegang telefon langsung masa itu, hanya fokus pada pelajaran dan jaga ayah. Waktu malam saya tidur awal dan bangun 5 pagi untuk ulang kaji selain aktif dalam pasukan Kadet Bersatu di sekolah," katanya.
Adib Azrif berkata sebelum kemalangan berlaku, dia sering membantu bapanya memotong rumput sebagai kerja sampingan keluarga dan pengalaman itu menyedarkannya tentang kepayahan mencari rezeki.
“Semasa peperiksan percubaan saya target tujuh A dan dapat lapan. Alhamdulillah, keputusan sebenar SPM saya dapat lebih baik iaitu 7A+ dan 2A,” katanya yang berharap dapat menyambung pengajian dalam bidang kejuruteraan bagi memenuhi impian menjadi jurutera.
Anak kedua daripada tiga beradik itu mempunyai abang berusia 22 tahun yang sedang menuntut di Institut Pendidikan Guru di Perlis dan adik perempuan bersekolah rendah berusia 10 tahun.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial