AM > BERITA

Malaysia Percepat Usaha Jadi Kuasa Besar AI Serantau - Gobind

24/04/2025 08:26 PM

PUTRAJAYA, 24 April (Bernama) -- Malaysia sedang melipatgandakan usaha untuk menjadi peneraju serantau dalam kecerdasan buatan (AI) dengan menumpukan pada pembangunan bakat dan infrastruktur digital, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.

Beliau berkata komponen utama bagi inisiatif itu ialah Pejabat AI Kebangsaan (NAIO), yang menyelaraskan usaha merentas kementerian untuk mengenal pasti dan menangani keperluan bakat.

"NAIO membolehkan kami melakukan tadbir urus dengan pelbagai sektor untuk memahami perkara yang diperlukan bagi membina dan mengekalkan bakat digital terbaik.

"Kami komited untuk mencipta peluang sebenar dalam ruang teknologi dan membolehkan rakyat Malaysia menerajui inovasi Al," katanya ketika berucap pada acara Machines Can See yang diadakan semalam di Muzium Masa Depan di Dubai. 

Kandungan ucapan beliau dikongsikan kepada media menerusi kenyataan di sini hari ini.

Beliau turut menekankan bahawa Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) sedang berusaha untuk mempercepat inisiatif digital dan memperkemas proses menarik bakat global selaras dengan matlamat Pelan Tindakan Ekonomi Digital Malaysia 2025-2030.

"Kami mempunyai visi jangka panjang yang jelas. Menjadikannya lebih mudah untuk membangunkan kemahiran digital dan peluang akses merupakan bahagian penting dalam rangka tindakan kami untuk pertumbuhan," katanya.

Gobind juga menggesa perubahan dalam pendekatan pendidikan digital iaitu bukan sahaja mengenai universiti, tetapi juga perlu menerapkan modul atau pembelajaran teknologi yang relevan pada setiap peringkat pendidikan bermula sekolah rendah hingga menengah dan seterusnya.

"Ini bagi memastikan penyediaan bakat lebih awal dan menangani kekurangan kemahiran pada masa hadapan," katanya.

Gobind berkata selari dengan pembangunan bakat, Malaysia kini pantas berkembang sebagai hab serantau untuk pusat data, pemacu penting Al dan transformasi digital yang lebih luas.

"Malaysia telah pun menarik pelaburan pusat data global. Kami mempunyai infrastruktur, sumber dan  dasar untuk menyokong pertumbuhan ini dan kami sedang membina ekosistem yang meletakkan kami sebagai peneraju serantau," katanya.

Beliau berkata ekosistem di sekitar pusat data itu akan memacu inovasi dan mencipta pekerjaan selain penting dalam wawasan negara ke arah ekonomi digital yang berkembang maju.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Gobind berkata Malaysia menjalin kerjasama strategik dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Rwanda yang bertujuan mengukuhkan penyelarasan untuk membantu meningkatkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) di Selatan Global.

"Dalam rangka kerja rangkaian global Pusat Revolusi Perindustrian Keempat (C4IR), negara-negara ini akan bekerjasama untuk mempromosikan etika dan tadbir urus dalam Al bagi membantu masyarakat dan ekonomi di rantau tersebut bagi memanfaatkan potensinya," katanya.

Perjanjian itu dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang diumumkan pada Dubai Al Week yang sedang berlangsung, antara Dubai Future Foundation sebagai penganjur C4IR UAE, Rwanda C4IR dan MyDigital Corporation, sebuah agensi di bawah Kementerian Digital.

Gobind berkata Malaysia berbesar hati bergabung tenaga dengan UAE dan Rwanda dalam inisiatif itu bagi menghubungkan kepakaran Al dunia dan mempercepat transformasi digital untuk masa depan yang lebih inklusif dan mampan.

"Kerjasama melibatkan Malaysia, UAE dan Rwanda ini mencerminkan matlamat kami untuk masa depan yang didorong oleh inovasi Al yang bertanggungjawab," katanya.

Gobind berkata susulan MoU itu, mereka bersetuju untuk memperluas skop Program C4IR AI Fellowship yang pada mulanya ditandatangani UAE dan Rwanda pada Mesyuarat Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2024 di Davos.

“Kini, dengan tambahan Malaysia, kerjasama yang diperluas itu akan menggalakkan lagi usaha sama antarabangsa untuk menyokong pembangunan mampan menerusi Al.

"Inisiatif itu akan membolehkan pertukaran bakat, inisiatif bersama dan pembangunan terkoordinasi rangka kerja tadbir urus Al yang bertanggungjawab diterajui negara-negara Global Selatan," tambahnya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan