AM > BERITA

JDT Mara Ke Final Piala Malaysia, Johor Isytihar Isnin Cuti Peristiwa

25/04/2025 12:01 AM

JOHOR BAHRU, 24 April (Bernama) -- Kerajaan Johor memutuskan untuk mengisytiharkan Isnin depan (28 April) sebagai Hari Cuti Peristiwa bagi seluruh rakyat negeri itu sebagai tanda sokongan padu dan penghargaan terhadap pencapaian cemerlang pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT).

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi melalui hantaran Facebook miliknya mengucapkan tahniah kepada pasukan JDT kerana berjaya mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2024-2025 menentang Sri Pahang pada Sabtu ini.

"Menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail atas visi, perancangan dan usaha luar biasa dalam menjadikan JDT sebagai sebuah kelab bola sepak berprestij bukan sahaja di Malaysia, bahkan turut disegani di rantau Asia," katanya.

Beliau berkata JDT kini dalam misi mengekalkan kejuaraan buat kali kelima setelah meraih empat gelaran Piala Malaysia pada 2017, 2019, 2022 dan 2023.

"Ayuh, seluruh penyokong Harimau Selatan, kita banjiri Stadium Nasional Bukit Jalil bagi memberikan sokongan penuh dan menjadi pemain ke-12 untuk perlawanan ini. Semoga kemenangan milik pasukan JDT," katanya. 

Onn Hafiz turut mengajak penyokong pasukan negeri itu untuk memeriahkan sambutan JDT menjuarai Liga Super 11 kali berturut-turut di Stadium Sultan Ibrahim pada 8 malam, 27 April ini.

“Ayuh, kita terus gegarkan Stadium Sultan Ibrahim dalam satu sambutan penuh gilang-gemilang untuk Chapter 2: The 11. Mari kita hadir beramai-ramai, kibarkan bendera biru merah, dan raikan pasukan kebanggaan kita, Johor Darul Ta’zim,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan