AM > BERITA

Mesyuarat Bersepadu Teliti Haram Penjualan Vape Di Selangor - Exco

25/04/2025 01:02 PM

SHAH ALAM, 25 April (Bernama) -- Satu mesyuarat bersepadu bersama agensi terlibat akan diadakan dalam masa terdekat, bagi meneliti keperluan mengharamkan penjualan rokok elektronik atau vape di Selangor.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar negeri Jamaliah Jamaluddin berkata pertemuan itu melibatkan pihaknya bersama pejabat Menteri Besar, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) serta agensi persekutuan dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Perbincangan ini dijangka melibatkan agensi seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi mendapatkan gambaran lebih menyeluruh dari aspek penguatkuasaan, perundangan dan kesan terhadap sosioekonomi,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata di peringkat persekutuan Kementerian Kesihatan (KKM) dan JKNS memainkan peranan penting dalam mengawal selia pendaftaran produk merokok, pelabelan dan pembungkusan, penjualan serta penguatkuasaan kawasan larangan merokok dan vaping di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 [Akta 852].

Menurut Jamilah, di peringkat negeri pula lesen perniagaan dikawal selia oleh PBT dan buat masa ini, lesen dikeluarkan adalah khusus bagi penjualan peralatan elektronik, bukan untuk rokok elektronik atau cecair vape.

“Kerajaan negeri menegaskan bahawa sebarang keputusan bakal diambil akan berlandaskan kajian terperinci serta mengambil kira kepentingan kesihatan awam, keberkesanan penguatkuasaan dan kesejahteraan rakyat Selangor.

“Saya menghargai keprihatinan semua pihak termasuk cadangan dikemukakan oleh Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay baru-baru ini, dan kita komited untuk meneliti isu ini secara menyeluruh,” katanya. 

Semalam, media melaporkan Kerajaan Negeri Terengganu akan menguatkuasakan larangan penjualan produk rokok elektronik di semua premis di negeri berkenaan bermula 1 Ogos depan. 

Pada 18 April lepas, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari pula dilaporkan berkata Selangor sedia meneliti keperluan mengharamkan penjualan vape di negeri ini sebagaimana saranan dibuat oleh Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan