AM > BERITA

Melaka Akan Terus Kenang Jasa Tun Abdullah

25/04/2025 01:55 PM

MELAKA, 25 April (Bernama) -- Kerajaan Melaka akan terus mengenang jasa dan bakti ditinggalkan Perdana Menteri kelima Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, khususnya yang melibatkan pembangunan di negeri ini. 

Yang Dipertua Negeri Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam berkata Allahyarham akan dikenang sebagai pemimpin berjiwa rakyat, tenang dalam pendekatannya dan sentiasa meletakkan kepentingan negara serta kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan. 

“Saya mewakili Dewan ini, kerajaan negeri dan rakyat dengan penuh dukacita merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Tun Abdullah atas pemergian beliau ke rahmatullah pada 14 April lepas.

“Pemergian Tun Abdullah satu kehilangan besar kepada negara kerana sepanjang hayat beliau telah menyumbang jasa tidak ternilai kepada pembangunan Malaysia, khususnya dalam memupuk kesederhanaan, ketelusan dan perpaduan antara kaum di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya ketika berucap merasmikan pembukaan Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-15 di sini hari ini. 

Persidangan DUN kali ini berlangsung tiga hari bermula hari ini, 28 dan 29 April dengan dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan barisan kepimpinan negeri.

Mohd Ali berkata pelbagai jasa disumbangkan oleh Allahyarham, termasuk menyelesaikan isu banjir dengan projek menaik taraf sistem saliran bagi mengatasi masalah banjir kilat di kawasan bandar raya Melaka serta meluluskan peruntukan bagi projek pengindahan dan pembersihan Sungai Melaka. 

"Mengambil kira slogan ikonik Allahyarham iaitu ‘Cemerlang, Gemilang dan Terbilang’, kerajaan negeri juga telah membina dan menamakan satu bangunan dengan nama Kota Cemerlang di MITC (Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka), Ayer Keroh. 

"Malah minat Allahyarham yang mendalam dalam kraf tangan juga terzahir apabila beliau sering singgah di gerai kraf tangan di Simpang Ampat dan ia merupakan antara nostalgia saya bersama Allahyarham," katanya. 

Tun Abdullah yang lebih dikenali sebagai Pak Lah meninggal dunia pada  7.10 malam 14 April lepas di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur dan dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan