MELAKA, 25 April (Bernama) -- Melaka perlu bersedia dengan cabaran ketidakseimbangan ekonomi global terutama berkaitan pengumuman tarif baharu yang dikenakan oleh Amerika Syarikat kepada semua negara serta kenaikan duti import ke atas barangan dan perkhidmatan.
Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam berkata ini bagi memastikan ekonomi negeri terus berkembang selari dengan ekonomi Malaysia dan antarabangsa.
“Saya harap negeri ini dapat menghadapi cabaran ini (ekonomi) dengan penuh iltizam, perancangan strategik dan memupuk kerjasama erat antara kerajaan negeri, persekutuan serta komuniti,” katanya ketika berucap merasmikan sesi pembukaan Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-15 di Seri Negeri di sini hari ini.
Persidangan DUN kali ini berlangsung selama tiga hari bermula hari ini sehingga 29 April, dengan dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan barisan kepimpinan negeri.
Beliau berkata kerajaan negeri juga perlu kekal dengan momentum sedia ada, memandangkan Melaka telah mencatatkan jumlah nilai pelaburan yang amat memberangsangkan iaitu RM8.18 bilion pada tahun 2024.
“Kejayaan itu menunjukkan Melaka semakin mendapat kepercayaan sebagai destinasi pelaburan strategik yang menawarkan potensi besar, infrastruktur yang baik serta sokongan mesra perniagaan dan pelabur.
“Oleh itu saya berharap usaha berterusan dapat dilaksanakan untuk menarik lebih banyak pelaburan berkualiti dan berimpak tinggi, selari dengan kelestarian alam sekitar serta berupaya membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk Melaka khasnya,” katanya.
Mohd Ali berkata kerajaan negeri juga perlu menyediakan peluang latihan yang bersesuaian kepada usahawan di negeri itu, selain menggalakkan penggunaan platform digital dalam meluaskan pasaran dan mengembangkan perniagaan mereka, selari dengan ledakan perkembangan teknologi terkini.
Dalam pada itu, beliau juga berharap kerajaan negeri dapat memastikan semua projek pembangunan mempunyai infrastruktur telekomunikasi, pendigitalan dan perkakasan yang lengkap disediakan di peringkat perancangan lagi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial