AM > BERITA

Draf PTKL 2024 Kini Diperingkat Akhir - Dr Zaliha

25/04/2025 08:11 PM

PUTRAJAYA, 25 April (Bernama) -- Draf Pelan Tempatan Kuala Lumpur (PTKL) 2040 yang akan digunakan bagi mengawal perancangan pembangunan di Kuala Lumpur kini di peringkat akhir penelitian.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata draf berkenaan akan dibentangkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Selepas itu, insya-Allah, kita teruskan proses iaitu Peguam Negara dan seterusnya kita boleh mewartakan (PTKL 2040) dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Bantuan MADANI berjumlah RM278,000 kepada 77 badan sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di sini hari ini. 

Draf PTKL 2040 adalah pelan yang termaktub dari segi perundangan untuk diguna pakai oleh Datuk Bandar bagi mengawal perancangan pembangunan di Kuala Lumpur.

Pada 30 Januari 2024, Dr Zaliha menyeru pihak termasuk wakil agensi kerajaan, swasta, industri, badan bukan kerajaan (NGO) mahupun warga kota dialu-alukan untuk mengambil bahagian dalam sesi pendengaran awam terhadap kandungan Draf PTKL 2040.

Beliau berkata semua pihak dipelawa memberikan sebanyak mungkin pandangan, cadangan serta idea terhadap kandungan draf PTKL 2040 untuk diteliti oleh jawatankuasa terlibat sebelum diwartakan pada suku pertama 2025.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Kamarulzaman Mat Salleh ketika itu berkata draf PTKL 2040 menterjemah visi Bandar Untuk Semua, selain memberi tumpuan merangka perancangan guna tanah dan intensiti pembangunan dengan berpandukan kepada matlamat pembangunan seperti digariskan dalam Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL 2040). 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan