AM > BERITA

Kompleks Sukan Berprestasi Tinggi Bakal Dibina Di Putrajaya

25/04/2025 08:56 PM

PUTRAJAYA, 25 April (Bernama) -- Kompleks Sukan Putrajaya bakal dibina bagi memantapkan aspek pembangunan atlet Wilayah Persekutuan, sekali gus berupaya memperkukuh ekosistem sukan negara.  

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata cadangan untuk membina kompleks berkenaan diterima baik oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata ketika ini, pihaknya bersama pemegang taruh dan pihak berkepentingan sedang mengadakan perbincangan bagi menjayakan pembinaan kompleks sukan itu, yang dicadangkan di sebuah lokasi Presint 13.

“Kita memikirkan tentang perkara ini (pembinaan kompleks) selepas kita balik dari Sukma Sarawak tempoh hari, kita melihat prestasi atlet-atlet di Wilayah Persekutuan ini amat memberangsangkan. 

“Jadi, rentetan daripada itu, kita berbincang di peringkat pengurusan tertinggi dan kita datang dengan idea untuk mendirikan Kompleks Sukan dan Putrajaya adalah tempat yang sangat sesuai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Bantuan MADANI berjumlah RM278,000 kepada 77 badan sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di sini hari ini. 

Zaliha berkata pembinaan kompleks berkenaan memfokuskan kepada sukan berprestasi tinggi dan berupaya membantu setiap atlet Wilayah Persekutuan serta negara. 

Beliau berkata aspek kemudahan atau fasiliti yang perlu ada dalam kompleks berkenaan sedang diperhalusi dengan beberapa pemegang taruh dalam bidang sukan.

“Kita akan duduk sekali dengan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) Jabatan Perdana Menteri dan berbincang perkara seterusnya (mengenai aspek pembinaan kompleks),” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Zaliha berkata beliau mengarahkan Majlis Sukan Wilayah Persekutuan untuk memperkenalkan sistem penarafan bintang bagi badan-badan sukan di Wilayah Persekutuan untuk memastikan pengurusan pada tahap terbaik.

Antara elemen yang boleh dinilai dalam penarafan itu, termasuklah pengurusan dokumen dan tatakelola, kecekapan pengurusan kewangan dan juga kejayaan serta pencapaian badan sukan itu di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

“Insya-Allah, saya yakin dengan adanya sistem penarafan ini, badan-badan sukan akan lebih berdaya saing, berdisiplin dan berwibawa dalam memastikan urus tadbir yang terbaik dalam usaha memastikan prestasi di Wilayah Persekutuan ini terus cemerlang,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan