KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) berjaya merampas, membeku dan melucut hak aset serta mengenakan kompaun yang kesemuanya bernilai lebih RM285 juta pada 2024 dalam usaha membanteras jenayah rasuah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata ia membuktikan penguatkuasaan undang-undang yang dijalankan oleh pihaknya adalah berkesan dan agensi itu bukan sekadar menyiasat malah memulihkan kembali hak rakyat yang telah dikhianati.
Beliau berkata siasatan dan pemulihan aset yang dijalankan oleh SPRM bukan perkara yang mudah selain memerlukan ketekunan, kebijaksanaan, kerjasama dan kolaborasi negara lain serta penglibatan media untuk memberi liputan seimbang, berinformasi dan memberi keyakinan kepada rakyat.
"Bagi suku pertama tahun ini, SPRM mencatatkan nilai sitaan aset terbesar sebanyak RM177 juta melibatkan wang tunai dan jongkong emas yang terkait dengan siasatan terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob," katanya ketika berucap pada Malam Anugerah Media SPRM di sini malam ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Azmi Kamaruzaman dan Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional (Bernama) Arul Rajoo Durar Raj.
Azam berkata pihaknya akan terus memperkukuh tumpuan terhadap kes rasuah berskala besar, berprofil tinggi dan berkepentingan awam.
Beliau berkata siasatan agensi itu sentiasa dijalankan dengan prinsip bebas, telus serta profesional berlandaskan undang-undang dan tanpa sebarang campur tangan politik.
"Siasatan kes-kes berprofil tinggi membuktikan bahawa SPRM bertindak tanpa takut atau pilih kasih, tidak kira individu yang terlibat adalah bekas pemimpin tertinggi negara, wakil rakyat negeri ataupun pengarah syarikat-syarikat besar," katanya.
Azam juga berkata ia bagi memastikan setiap sen hasil daripada amalan rasuah dan penyelewengan dapat dikembalikan semula kepada rakyat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial