AM > BERITA

Ismail Sabri Selesai Beri Keterangan Tujuh Jam Di SPRM, Disambung Esok

24/04/2025 07:12 PM

PUTRAJAYA, 24 April (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selesai memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bera dilihat meninggalkan pekarangan ibu pejabat SPRM di sini pada 6.11 petang selepas kira-kira tujuh jam memberi keterangan. Terdahulu, Ismail Sabri hadir pada 11 pagi.

Menurut sumber, proses rakaman percakapan bekas perdana menteri kesembilan itu akan disambung esok pada 3 petang.

Ini merupakan kali kelapan Ismail Sabri hadir ke SPRM bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Difahamkan, siasatan membabitkan perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti program Keluarga Malaysia semasa tempoh perkhidmatan beliau sebagai perdana menteri dari Ogos 2021 hingga November 2022.

Kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Pada 3 Mac lepas, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan Ismail Sabri sebagai suspek siasatan kes itu, susulan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang serta 16 kilogram jongkong emas di sebuah premis simpanan khas (safe house) hasil serbuan SPRM.

SPRM turut dilaporkan menyita 13 akaun bank bagi membantu siasatan.

Ismail Sabri ketika keluar dari ibu pejabat SPRM sempat melambaikan tangan kepada pengamal media yang menunggu sejak pagi namun enggan mengulas lanjut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan