BAGAN DATUK, 26 April (Bernama) -- Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) melangkah lebih jauh dengan memperkenalkan inisiatif terbaharu, RisSMart Grocer iaitu pasar raya berkonsepkan pusat sehenti yang menghimpunkan produk usahawan dalam suasana pasar moden.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata RisSMart Grocer bukan sahaja berfungsi sebagai hab jualan, tetapi juga menjadi medium pemerkasaan produk desa melalui pelabelan, pensijilan halal dan strategi penjenamaan terkini.
“Inisiatif RisSMart Grocer ini mencerminkan usaha berterusan RISDA, dalam memperkasakan daya saing produk usahawan pekebun kecil, serta meningkatkan pendapatan dan keuntungan kumpulan RISDA melalui penglibatan aktif dalam sektor runcit dan agromakanan,” katanya dalam ucapan perasmian Karnival RISDA MADANI (KARRISMA) peringkat Zon Utara Tahun 2025, di perkarangan Dewan Dato' Mohamed Jamrah di sini hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata sebagai komitmen RISDA dalam memacu pembangunan usahawan pekebun kecil, KARRISMA kali ini menampilkan outlet RisSMart sebagai pusat perkumpulan pelbagai variasi produk usahawan pekebun kecil.
“Konsep ini diperluas melalui platform RisSMart24 yang kini mempunyai 11 cawangan berkonsepkan kedai serbaneka dan tiga cawangan RisSMart Butchery yang memasarkan produk daging halal berkualiti di sekitar Lembah Klang.
“Setakat ini, sebanyak lebih 280 jenis produk keluaran usahawan pekebun kecil telah pun berada di dalam cawangan RisSMart ini, yang bersaing dengan barisan produk jenama lain,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata sebagai menghadapi cabaran industri getah negara ketika ini, RISDA melaksanakan satu inisiatif inovatif yang mampu menghasilkan minyak biofuel daripada sekerap getah kepada biofuel.
Beliau berkata inisiatif tersebut bakal mengaktifkan pengeluaran getah negara, selain membuka potensi kepada penghasilan tenaga alternatif dan memberi nilai tambah kepada pendapatan pekebun kecil.
“Ujian saintifik Jabatan Kimia Negeri Kelantan telah mengesahkan biofuel ini selamat dan berfungsi tanpa perlu campuran bahan tambahan, malah telah berjaya diuji pada pelbagai jentera.
“Kejayaan ini membuktikan bahawa sisa getah berupaya menghasilkan output bernilai tinggi, sambil menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon, sejajar dengan matlamat kelestarian alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata projek itu, berpotensi menjadi model pembangunan luar bandar berimpak tinggi yang memacu transformasi sektor getah ke arah masa depan lestari dan berdaya saing, dengan sokongan berterusan kerajaan serta kerjasama pelbagai pihak.
Sementara itu, Pengerusi RISDA Manndzri Nasib berkata pihaknya telah membelanjakan sejumlah RM101.16 juta, bagi melaksanakan program pembangunan komuniti pekebun kecil di seluruh negara sehingga kini.
Beliau berkata RISDA akan terus memperjuangkan kesejahteraan lebih 500,000 pekebun kecil di seluruh negara yang menjadi tulang belakang kepada sektor komoditi getah.
KARRISMA Zon Utara dijangka mampu menarik lebih 10,000 pengunjung dengan sasaran jualan mencecah RM200,000, sepanjang karnival yang menjadi platform signifikan RISDA dalam memperkasakan ekosistem keusahawanan desa dengan menghimpunkan penyertaan usahawan pekebun kecil dari empat negeri utara.
Sementara itu, turut diadakan penyerahan dokumen memorandum kerjasama antara tiga pihak kolaborasi strategik melibatkan gabungan kepakaran RISDA Security & Services (RSS), Aerodyne Group dan Aerodata Consulting, dalam meneroka teknologi dron, kecerdasan buatan (AI) dan data analitik.
Kolaborasi itu bertujuan memperkukuh perkhidmatan keselamatan, pengurusan fasiliti dan pemantauan melalui pendekatan digital berimpak tinggi.
Menerusi projek seperti pemantauan aset, kawalan sempadan dan pemeliharaan sungai, teknologi akan digunakan bagi meningkatkan kecekapan operasi, mengurangkan kos dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh.
RISDA turut memperuntukkan sejumlah RM91.5 juta bagi Program Pembangunan RISDA Zon Utara Tahun 2025 merangkumi Program Tanaman Semula Getah sebanyak RM45.9 juta, Program Skim Getah Matang (RM18.6 juta), Program Pembangunan Usahawan pula (RM10.7 juta) serta Program Agromakanan pula diperuntukkan sebanyak RM6.9 juta.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial