AM > BERITA

Kolam Takungan Pecah: Penyelesaian Jangka Panjang Sedang Dimuktamad - Exco

26/04/2025 11:21 PM

SHAH ALAM, 26 April (Bernama) -- Jabatan Pengairan dan Saliran kini dalam proses memuktamadkan langkah penyelesaian jangka panjang bagi menjamin keselamatan penduduk Taman Seri Alam di Sungai Buloh daripada insiden kolam takungan air pecah berulang buat kali keempat.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor Datuk Izham Hashim berkata proses libat urus penyelesaian jangka panjang itu dilaksanakan dengan kerjasama pihak perunding kejuruteraan pemaju dan wakil persatuan penduduk taman berkenaan.

“Inisiatif itu dilaksanakan bagi memastikan apa jua penyelesaian, bukan sahaja mengambil kira aspek teknikal tetapi aspek sosial dan kemanusiaan bagi penduduk setempat.

“Kerajaan menjangkakan penyelesaian muktamad ini dapat dilaksanakan tidak lewat dari suku ketiga tahun 2025, iaitu sebelum musim Monsun Timur Laut bermula,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Izham berkata beberapa langkah segera dikenal pasti dapat dilakukan sepanjang minggu ini, antaranya pelaksanaan kerja-kerja pengorekan dan memperbetulkan kedudukan perangkap pengutip sampah di dalam kolam takungan itu.

“Kerja-kerja ini sedang berjalan rancak di kolam berkenaan,” katanya.

Di samping itu, beliau berkata kerajaan negeri memandang serius kebimbangan yang disuarakan oleh penduduk setempat berkaitan keselamatan kolam takungan itu terutamanya menjelang musim hujan yang tidak menentu.

“Pihak pemaju pula telah menjalankan pembaikan sementara ke atas struktur tembok kolam yang rosak. Berdasarkan pemerhatian semasa, struktur berkenaan kini dapat menampung aliran air biasa.

“Sementara itu sejurus selepas kejadian (kolam takungan pecah), Majlis Perbandaran Kuala Selangor bersama KDEB Waste Management Sdn Bhd telah melaksanakan kerja-kerja pembersihan kawasan yang terjejas,” katanya.

Izham berkata kerajaan negeri memahami keresahan penduduk dan akan memastikan semua langkah mitigasi serta kerja-kerja penambahbaikan dilakukan mengikut piawaian keselamatan yang ditetapkan.

Terdahulu, 35 kediaman di Taman Seri Alam, Sungai Buloh terjejas disebabkan kolam takungan air di kawasan itu pecah pada 6 pagi, 24 April lepas.

Ia adalah kali ketiga benteng berkenaan pecah selepas kejadian pertama pada 2014, diikuti insiden kedua pada 29 Disember lepas yang menjejaskan 200 buah rumah di kawasan sama.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan