AM > BERITA

TH, MAHB Adakan Simulasi Latihan Pengungsian Di KLIA

27/04/2025 06:08 PM

SEPANG, 27 April (Bernama) -- Lembaga Tabung Haji (TH) dengan kerjasama Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) hari ini mengadakan simulasi latihan pengungsian bangunan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi memastikan kelancaran operasi haji tahun ini. 

Simulasi latihan melibatkan 200 peserta antaranya petugas TH, MAHB, agensi pihak berkuasa serta pasukan perubatan dan keselamatan KLIA itu, antara lain bertujuan memastikan bakal jemaah haji bersedia dengan sebarang kemungkinan situasi kecemasan dan insiden luar jangka.

Timbalan Pengarah Gerakan, Operasi Haji Tanah Air TH Mohamed Ameen Abdul Wahab berkata latihan simulasi ini dilaksana bagi memastikan semua prosedur operasi standard (SOP) dan protokol pelan pengungsian dapat dilaksanakan dengan lancar serta teratur sekiranya berlaku sebarang kecemasan ketika bakal jemaah haji berkumpul di KLIA sebelum berlepas ke Tanah Suci.

“Latihan yang diadakan ini adalah antara modul kursus persediaan kepada para petugas haji di tanah air yang akan menyantuni para Duyufurrahman, terutama menjelang pelepasan kumpulan pertama pada 29 April ini yang membawa 284 jemaah ke Arab Saudi.

“Keperluan untuk mengadakan simulasi ini juga adalah bagi memastikan kesemua bakal haji termasuk para petugas TH dan MAHB bersedia sepenuhnya bagi menghadapi sebarang kecemasan seperti kebakaran, bencana alam, rusuhan, krisis dan sebagainya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Pelaksanaan simulasi latihan pengungsian itu berdasarkan Pelan Tindakan Kecemasan OHTA serta Pelan Kecemasan Aerodome (AEP) iaitu dokumentasi pelan yang dirangka sebagai langkah pengurusan kecemasan dan bencana bagi menyelaras tindakan yang wajar diambil dengan penglibatan unit operasi KLIA, agensi kerajaan serta pihak penerbangan.

TH dalam kenyataan sama memaklumkan latihan simulasi turut diadakan di semua stesen pelepasan jemaah haji negeri secara berjadual.

Bagi musim haji kali ini, tiga stesen pelepasan negeri terpilih untuk sesi latihan simulasi pengungsian iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud, Kuala Terengganu; Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu dan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor Bahru.

Penerbangan pertama jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci dijadualkan pada 29 April ini, manakala penerbangan terakhir adalah pada 1 Jun depan, dengan hari wukuf iaitu 9 Zulhijjah dijangka pada Khamis, 5 Jun ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan