SUKAN > BERITA

SAMBUTAN 'JDT CHAPTER 2: THE 11' GAH, DIWARNAI BUNGA API DAN DRON CAHAYA

27/04/2025 11:33 PM

ISKANDAR PUTERI, 27 April (Bernama) -- Pertunjukan bunga api dan acara dron bercahaya mewarnai sambutan “Johor Darul Ta'zim (JDT) Chapter 2: The 11” yang diadakan di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, bersempena kejayaan pasukan itu menjuarai Liga Super kali ke-11 berturut-turut.

Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat menyaksikan sambutan gilang-gemilang itu.

Berangkat sama Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim dan Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor.

Majlis penyerahan piala Liga Super disempurnakan Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Datuk Ab Ghani Hassan diiringi Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Dianggarkan lebih 30,000 penyokong membanjiri stadium bagi menyaksikan sambutan itu yang diserikan dengan persembahan artis antarabangsa seperti Busta Rhymes, Fabolous, Big Ben, Onefour dan Jabbawockeez.

Selain itu, pelbagai aktiviti menarik menerusi Karnival ‘FanFest’ termasuk persembahan artis tempatan seperti Datuk Awie dan DeFam diadakan untuk penyokong Harimau Selatan.

Jualan kendera saji dan barangan turut diadakan di pekarangan letak kereta stadium bermula 2 petang tadi.

Semalam, JDT melengkapkan kejayaan 'triple treble' apabila menjuarai Piala Malaysia 2024/2025 dengan menewaskan Sri Pahang FC 2-1 pada perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil setelah memenangi Liga Super dan Piala FA musim ini dan menjuaraikan ketiga-tiga gelaran pada dua musim lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan