KUANTAN, 27 April (Bernama) -- Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) memilih Kampung Jerantut Feri di Jerantut sebagai lokasi pelaksanaan inisiatif Kampung Angkat MADANI yang memberi manfaat kepada 4,000 penduduk di kawasan berkenaan.
JWP dalam kenyataan hari ini memaklumkan pemilihan Kampung Jerantut Feri adalah kesinambungan kepada program Santuni MADANI yang dilaksanakan di kampung sama pada tahun lepas.
“Dalam program Santuni MADANI, JWP melaksanakan pemasangan lampu solar, program gotong-royong mengecat pagar masjid, sumbangan kelengkapan sekolah kepada lebih 120 murid Tadika Perpaduan dan Sekolah Kebangsaan Pedah serta penyerahan benih ikan kepada 13 penternak patin sangkar,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut memaklumkan, JWP melaksanakan pelbagai penambahbaikan, namun masih terdapat keperluan untuk menaik taraf kemudahan lain, antaranya penyelenggaraan dan naik taraf jalan kampung dan balai raya, pemasangan lampu, pembinaan dewan orang ramai, padang futsal serta taman permainan.
“Jabatan Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) mengenal pasti lokasi bagi kerja-kerja naik taraf, baik pulih dan selenggara kemudahan awam sedia ada supaya pelaksanaannya dapat dibuat dengan segera selepas ini,” menurut kenyataan itu.
JWP memaklumkan Program Temu Mesra Kampung Angkat MADANI yang turut berlangsung hari ini menjadi satu langkah proaktif Kerajaan MADANI dalam memperkasa pembangunan luar bandar secara menyeluruh dan berterusan.
“Peningkatan aspek sosial dan ekonomi komuniti luar bandar melalui program Kampung Angkat MADANI ini dapat membawa pembangunan yang inklusif, holistik dan bersifat jangka panjang kepada komuniti kampung ini,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial