AM > BERITA

Kilang Simen Di Tongod Atasi Kekurangan Bahan Mentah, Beri Limpahan Pembangunan - Masiung

27/04/2025 06:04 PM

KOTA KINABALU, 27 April (Bernama) -- Pembangunan kilang simen di Kampung Kayawoi, dekat Tongod, diyakini dapat mengatasi masalah kekurangan bekalan bahan mentah yang sering dihadapi oleh pemaju di Sabah apabila ia siap dibina dan beroperasi kelak, kata Pengerusi Borneo Cement Sabah Datuk Masiung Banah.

Masiung berkata sebelum ini para pemaju dan kontraktor kecil di Sabah terpaksa 'beratur' dan membuat tempahan sehingga dua minggu sebelum mendapatkan bekalan simen.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut itu turut menjelaskan bahawa pihaknya menjangkakan kilang simen tersebut mampu menghasilkan sekurang-kurangnya 5,000 tan simen sehari, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap import bahan mentah tersebut dari luar negara.

"Apabila kilang simen ini beroperasi, ia boleh membantu kerajaan negeri mengatasi masalah kekurangan simen di Sabah. Oleh kerana semua bahan mentah ada di Sabah, kita tidak perlu lagi mengimport dari luar negara," katanya kepada pemberita selepas Majlis Aidilfitri bersama pengamal media Sabah di sini, hari ini.

Masiung berkata pembinaan kilang simen ini perlu diteruskan kerana ia dilihat mampu memberi limpahan pembangunan infrastruktur, termasuk dalam aspek ekonomi, dengan menyediakan kira-kira 1,000 peluang pekerjaan untuk penduduk di kawasan berkenaan.

Mengulas lanjut, Masiung berkata pembangunan kilang simen itu setakat ini hanya melibatkan pembersihan tapak yang telah mendapat kelulusan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekitar (EIA). 

Beliau turut menjelaskan Suruhanjaya Tenaga Sabah telah bersetuju untuk membekalkan tenaga elektrik sebanyak 40 megawatt ke kilang simen tersebut, yang akan disambungkan dari Nabawan. Selain itu, pelabur juga bersetuju untuk membina jalan raya sepanjang 26 kilometer untuk memudahkan akses ke kawasan kilang.

Masiung turut menolak dakwaan pembangkang kononnnya pembinaan kilang simen itu sebagai alasan untuk mengambil kayu balak, sedangkan perkara itu tidak berlaku berikutan lokasi kilang dicadangkan adalah dalam kawasan batu kapur, selain dakwaan pelabur menarik diri juga adalah tidak benar.

Projek pembinaan kilang simen ini melibatkan pelaburan berjumlah RM1.2 bilion dengan keluasan tapak 202.3 hektar.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan