AM > BERITA

Tarif: Kerajaan Akan Terangkan Langkah Diambil Dalam Sidang Khas Parlimen - PM

27/04/2025 08:21 PM

KANGAR, 27 April (Bernama) -- Sidang khas Parlimen pada 5 Mei ini akan menerangkan langkah-langkah yang diambil kerajaan berhubung isu kenaikan tarif yang diumumkan oleh Amerika Syarikat ke atas Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia juga membolehkan semua Ahli Parlimen membincangkan kesan tindakan AS terhadap ekonomi negara dan langkah untuk mengatasinya.

“Inilah masa untuk semua parti dan semua rakyat fokus ke arah pertumbuhan negara. Angkat martabat negara ini.

"Malaysia ini negara hebat, mampu jadi negara contoh di antara negara terbaik di Asia dengan syarat kita bersatu dan bekerja kuat dengan mengangkat martabat ekonomi kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 Peringkat Negeri Perlis di Dataran Lok 9, Kuala Perlis dekat sini hari ini.

Turut berkenan berangkat ke majlis itu Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid.

Perdana Menteri berkata Malaysia juga tidak bersetuju dengan kenaikan tarif itu.

“Sebagai negara dagang, tidak ada negara waima Amerika Syarikat yang harus menetapkan kadar (tarif) sewenang-wenangnya mengikut penilaian unilateral mereka. Kita terikat dengan Pertubuhan Perdagangan Dunia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan ini yang disebut multilateral.

“Kita gabung dengan banyak negara tetapi kita terpaksa terima kenyataan dan tangani dengan bijaksana,” kata beliau.

Pada 2 April lepas, Presiden AS Donald Trump mengumumkan negara itu akan mengenakan tarif asas sebanyak 10 peratus kepada semua negara dan duti import lebih tinggi membabitkan beberapa negara termasuk Malaysia sebanyak 24 peratus.

Bagaimanapun, AS memberi penangguhan selama 90 hari kepada 75 negara termasuk Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan