KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Lawatan rasmi Presiden Maldives Dr Mohamed Muizzu ke negara ini akan membuka lembaran baharu dalam memperkukuh hubungan dua hala khususnya dalam bidang perdagangan, pelaburan, industri halal, pendidikan, pelancongan serta pembangunan belia dan sukan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sebagai rakan dagangan keenam terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Selatan, Malaysia amat menghargai komitmen Maldives untuk terus mempererat kerjasama strategik yang memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.
“Pertukaran tiga Memorandum Persefahaman (MoU) dan dua dokumen Pertukaran Nota (EoN) yang disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Dr Mohamed Muizzu diyakini dapat memperluas lagi kerjasama dalam pelbagai sektor penting antara kedua-dua negara.
“Semoga hubungan mesra ini terus berkembang kukuh dan memberi impak positif kepada kesejahteraan serta kemakmuran bersama. Insya-Allah,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasmi beliau hari ini.
Perdana Menteri dan Mohamed Muizzu hari ini menyaksikan pertukaran tiga MoU dan dua EoN merangkumi pelbagai sektor bertujuan mengukuhkan kerjasama dalam pelbagai bidang dengan semangat manfaat bersama.
Antara perkara penting MoU antara kerajaan Malaysia dan Maldives adalah dalam bidang pelancongan dan kerjasama dalam bidang sukan serta bidang kesihatan.
Sementara dua EoN yang ditandatangani pula merangkumi bidang latihan diplomatik dan penubuhan perundingan dua hala antara Malaysia dan Republik Maldives.
Ahmad Zahid turut menghadiri majlis sambutan rasmi ketibaan Mohamed Muizzu, yang kini dalam lawatan rasmi empat hari ke Malaysia, di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya pagi tadi.
Mohamed Muizzu tiba di Malaysia semalam atas jemputan Perdana Menteri dan ini merupakan lawatan sulung beliau ke negara ini sejak dilantik sebagai Presiden pada November 2023.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial