AM > BERITA

TMM2026: Malaysia-Maldives Perkukuh Kerjasama Pelancongan Mesra Muslim

28/04/2025 05:22 PM

PUTRAJAYA, 28 April (Bernama) -- Malaysia dan Maldives telah bersetuju memperkukuh kerjasama dengan memanfaatkan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) serta meneroka potensi untuk  meningkatkan aliran pelancongan kedua-dua negara termasuk peluang dalam pelancongan mesra Muslim dan halal.

Komitmen ini dibuat semasa lawatan rasmi empat bermula semalam oleh Presiden Maldives Dr Mohamed Muizzu ke Malaysia atas jemputan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menyedari potensi ekonomi kedua-dua negara, Anwar dan Muizzu menzahirkan keyakinan terhadap pertumbuhan aktiviti perdagangan, pelancongan dan pelaburan berterusan. Muizzu turut mempelawa pelabur Malaysia untuk meneroka peluang pelaburan yang luas di Maldives dalam pelbagai sektor.

Berdasarkan peningkatan permintaan global terhadap produk dan perkhidmatan halal berkualiti tinggi, Anwar telah menyatakan kesediaan Malaysia untuk berkongsi pengalaman serta kepakaran dalam membangunkan industri halal.

Bagi memperluas kerjasama budaya, kedua-dua pemimpin menyambut baik pengukuhan pertukaran budaya melalui kesusasteraan, seni persembahan, latihan budaya, pendidikan dan inisiatif lain bertujuan meningkatkan kesedaran awam tentang budaya serta sejarah Malaysia dan Maldives.

Muizzu turut menyatakan penghargaan terhadap persekitaran kerjasama dan persahabatan positif di Malaysia, yang memberi manfaat kepada rakyat Maldives ke Malaysia untuk tujuan pelancongan, pendidikan dan perubatan.

Kedua-dua pemimpin itu juga membincangkan langkah-langkah mempererat kerjasama bagi menyokong kebajikan rakyat mereka.

Ini merupakan lawatan pertama Presiden Maldives itu ke Malaysia sejak memegang jawatan pada 17 Nov 2023, dan menggariskan usaha kedua-dua negara untuk memperkukuh hubungan diplomatik yang telah lama terjalin sejak 1968.

Terdahulu semasa pertemuan dua hala, Anwar dan Muizzu membincangkan hubungan antara Malaysia dan Maldives selain turut bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.

Muizzu turut menjemput Anwar untuk mengadakan lawatan rasmi ke Maldives sekali gus menegaskan komitmennya untuk mengeratkan persahabatan antara kedua-dua negara.

Pada 2024, jumlah dagangan Malaysia dan Maldives mencatatkan peningkatan 4.3 peratus dengan jumlah RM862.7 juta (US$180.9 juta) berbanding RM827.3 juta (US$180.9 juta) pada 2023, menjadikan negara kepulauan itu sebagai rakan dagangan keenam terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Selatan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan