BUTTERWORTH, 28 April (Bernama) -- Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow menyifatkan jasa dan sumbangan Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak sepanjang empat tahun menjadi Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang ibarat jejak emas yang akan kekal terpahat di tanah bersejarah negeri ini.
Beliau berkata kepimpinan Ahmad Fuzi bukan sekadar melindungi bahkan menyubur, membangunkan dan menyantuni segenap lapisan rakyat dengan jiwa besar yang penuh kasih sayang.
“Salah satu legasi yang menjadi cerminan keprihatinan Tun (Ahmad Fuzi) adalah penubuhan Yayasan Amal Tuan Yang Terutama (TYT) Pulau Pinang yang aktif membantu golongan memerlukan sekali gus menjadi lambang keprihatinan Tun terhadap nasib rakyat jelata.
“Dalam aspek kelestarian alam, usaha Tun merealisasikan hasrat ‘Penanaman Satu Juta Pokok Dalam Sehari’ bukan sekadar mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records, tetapi juga merupakan peninggalan warisan hijau yang manfaatnya akan dinikmati oleh generasi yang akan datang,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Junjungan Kasih Sanjungan Budi Kerajaan Negeri Pulau Pinang di sini, malam ini.
Ahmad Fuzi hadir pada majlis itu bersama isteri Toh Puan Khadijah Mohd Nor.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri I Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid, Timbalan Ketua Menteri II Jagdeep Singh Deo, barisan kepimpinan kerajaan negeri, konsul jeneral dan konsulat kehormat serta ketua jabatan negeri dan Persekutuan.
Menurut Chow dalam menunaikan tanggungjawab memayungi negeri, Ahmad Fuzi juga aktif turun padang menyantuni rakyat jelata di samping menyertai pelbagai aktiviti sihat.
Sehubungan itu, beliau berkata majlis makan malam yang dianjurkan itu bukan sekadar satu acara simbolik tetapi juga manifestasi daripada seluruh warga Pulau Pinang dalam menzahirkan penghargaan kepada seorang pemimpin yang telah menyumbangkan khidmat bakti tanpa mengenal penat lelah selama empat tahun ini.
Sementara itu, Ahmad Fuzi dalam ucapannya menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan negeri di bawah pimpinan Chow, serta seluruh rakyat Pulau Pinang atas sokongan dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh perkhidmatan beliau sebagai Yang Dipertua Negeri.
Beliau menganggap kejayaan dalam meningkatkan kestabilan politik, pertumbuhan ekonomi serta pembangunan sosial negeri adalah hasil usaha bersama seluruh pihak.
“Sebenarnya, tidak ada buku teks tentang bagaimana hendak menjadi Yang Dipertua Negeri yang baik dan efektif, tetapi saya fikir adalah sesuai untuk Yang Dipertua Negeri memainkan peranan yang positif, proaktif dan berwawasan dengan nawaitu utama melengkap dan menyumbang ke arah kebaikan, kesejahteraan dan pembangunan sosioekonomi kerajaan dan rakyat Pulau Pinang.
“Inilah sebenarnya yang telah saya tumpukan sepanjang tempoh perkhidmatan saya, berlandaskan Perlembagaan Negeri dan tidaklah terlintas langsung dalam hati saya untuk mengambil alih atau menandingi bidang kuasa pentadbiran dan mandat pihak-pihak tertentu,” katanya.
Sehubungan itu, Ahmad Fuzi berharap agar potensi besar yang dimiliki Pulau Pinang dapat dimanfaatkan sepenuhnya menerusi visi dan pelaksanaan pembangunan ekonomi berimpak tinggi dalam pelbagai bidang.
Beliau berkata ia bagi membawa negeri tersebut ke tahap transformasi yang lebih tinggi, selaras dengan falsafah pembahagian ekonomi yang lebih adil dan saksama demi kebahagiaan serta kesejahteraan rakyat berbilang kaum.
Ahmad Fuzi yang dilantik pada 1 Mei 2021 akan tamat penggal perkhidmatan pada 30 April ini dan tempat beliau akan digantikan oleh Tun Ramli Ngah Talib sebagai Yang Dipertua Pulau Pinang kesembilan berkuat kuasa 1 Mei 2025.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial