IPOH, 29 April (Bernama) -- Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) mencatatkan kutipan zakat sebanyak RM253 juta pada 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk Syamsul Hazeman Md Salleh berkata jumlah kutipan itu merekodkan peningkatan berbanding RM237 juta pada tahun sebelumnya.
"Jumlah kutipan itu yang paling tertinggi setakat ini dan agak signifikan. Apabila angka kutipan zakat ini meningkat, maka lebih besarlah nilai yang kita boleh agihkan kepada kumpulan asnaf," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis minum petang bersama pembayar zakat korporat, penyerahan skim bantuan kebajikan siswa IPT serta bantuan per kapita rumah perlindungan anak yatim negeri Perak di sini hari ini.
Sementara itu, Syamsul Hazeman berkata sebanyak 43 syarikat dan individu melaksanakan agihan zakat melalui platform wakalah di Perak dengan jumlah keseluruhan RM24.3 juta pada tahun lepas.
"Daripada jumlah berkenaan, agihan kepada kategori asnaf fakir miskin sebanyak RM2.3 juta, fisabilillah RM2.1 juta, ghorimin (orang yang berhutang) RM737,703, mualaf RM502,010 dan institusi pendidikan awam dan swasta menerima wakalah tertinggi, iaitu sebanyak RM18.6 juta," katanya.
Beliau berkata MAIPk turut menyerahkan RM540,000 kepada 10 institusi pengajian tinggi di negeri ini menerusi Skim Bantuan Kebajikan Siswa kepada Institut Pengajian Tinggi pada tahun ini.
"Objektif skim bantuan bertujuan membantu mahasiswa dalam kalangan asnaf fakir dan miskin meringankan beban sara diri kehidupan mereka di kampus.
"Dana yang disalurkan ini dikendalikan oleh Jawatankuasa Tabung Amanah Zakat sebagai inisiatif kepada usaha bersama menangani kemiskinan kampus," katanya.
Syamsul Hazeman berkata MAIPk turut menyerahkan sumbangan zakat kepada 18 pusat jagaan dan perlindungan anak yatim di negeri ini melibatkan dana sebanyak RM257,000.
"Sumbangan ini membantu kos pengoperasian pusat jagaan anak yatim dalam meringankan beban mereka," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial