DUNIA > BERITA

KEMBOJA, SINGAPURA SOKONG MALAYSIA TERUSKAN DIALOG JAMIN KESELAMATAN PETUGAS KEMANUSIAAN DI MYANMAR

30/04/2025 12:03 AM

KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Kemboja dan Singapura menyokong usaha Malaysia selaku Pengerusi ASEAN untuk meneruskan dialog dengan semua pihak berkepentingan demi menjamin keselamatan petugas kemanusiaan dan membawa keamanan kepada rakyat Myanmar.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata rakan sejawatnya dari Kemboja, Hun Manet dan dari Singapura, Lawrence Wong menyatakan perkara tersebut ketika dihubungi secara berasingan menerusi panggilan telefon yang antara lain turut membincangkan terkait hal-hal berkepentingan serantau.

Anwar berkata kedua-dua perdana menteri menyuarakan sokongan dan menyambut baik ketika dimaklumkan tentang pertemuannya dengan Jeneral Kanan Min Aung Hlaing, Pengerusi Majlis Pentadbiran Negara (SAC) Myanmar dan Mahn Win Khaing Than daripada Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) Myanmar di Bangkok baru-baru ini.

“Pertemuan ini dilihat sebagai kemajuan penting ke arah usaha damai yang berkekalan di Myanmar,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam ini.

Perdana Menteri berkata mereka turut membincangkan perkembangan perdagangan serantau, khususnya berkaitan tarif balas yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) serta memaklumkan Malaysia telah menghantar wakil menerusi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk mencari penyelesaian yang menguntungkan kedua-dua negara.

Pada masa sama, beliau menjelaskan Malaysia mengambil kesempatan untuk memohon AS memberikan ruang kepada semua negara ASEAN mengusahakan penyelesaian melalui mekanisme hubungan dua hala masing-masing.

"Malaysia turut menyuarakan pendirian kohesif ASEAN dalam isu tarif balas ini dan menggesa AS melihat ASEAN sebagai satu ketumbukan dalam pertimbangannya berhubung isu tarif dan dasar-dasar perdagangan yang lain. 

"Berpaksikan semangat persahabatan dan prinsip kepusatan ASEAN, saya percaya usaha bersama ini akan melimpahkan keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan buat rakyat di seluruh rantau ini, insya-Allah," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan