AM > BERITA

Jambatan Bailey Sungai Liat, Felda Sungai Klah Dibuka Hari Ini - Exco

29/04/2025 08:52 PM

TANJONG MALIM, 29 April (Bernama) -- Jambatan Bailey yang dibina sementara bagi menggantikan Jambatan Sungai Liat, Felda Sungai Klah yang runtuh pada 20 April lepas dibuka kepada umum pada 6 petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata jambatan sepanjang 42.6 meter itu dibuka sehala kepada semua kenderaan dengan had muatan tidak melebihi 20 tan.

Beliau berkata kerja-kerja pemasangan jambatan Bailey berkenaan telah dilaksanakan pada 23 April dan siap pada Ahad lepas. 

"Kerja-kerja pembinaan jambatan sementara (Bailey Bridge) iaitu jalan yang menghubungkan Felda Sungai Klah dan Felda Residence Hotspring serta Kampung Orang Asli Sungai Tisong telah siap sepenuhnya.

"Sehubungan dengan itu, pengguna boleh menggunakan laluan terbabit dan dinasihatkan agar berhati-hati ketika melalui laluan itu serta sentiasa mematuhi arahan papan tanda yang disediakan,” katanya kepada pemberita pada sidang media Majlis Flag Off Jambatan Bailey Sungai Liat, Felda Sungai Klah.

Pada 22 April lepas, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata sebuah jambatan kekal akan dibina bagi menggantikan jambatan Bailey di lokasi itu dengan jangkaan kos RM3 juta.

Kejadian Jambatan Sungai Liat runtuh menyebabkan laluan keluar masuk yang menghubungkan Felda Residence Hot Spring, Kampung Tisong serta Buyong Mas Sanctuary Campsite terputus, mengakibatkan 136 individu termasuk 81 pelajar sebuah politeknik di ketiga-tiga kawasan terbabit terkandas.

Dalam pada itu, Mohammad Nizar berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri telah menguruskan 137 projek penyenggaraan dengan kos keseluruhan RM15.285 juta melibatkan jalan raya, lampu jalan dan lampu isyarat. 

"Kita telah laksanakan sistem cabutan undi secara dalam talian bagi semua 137 kerja daripada peruntukan kerajaan negeri melibatkan 104 kerja sivil dan 33 kerja elektrik. 

"Kita harapkan kesemua 137 kontraktor yang telah dilantik dapat menyiapkan kerja mengikut spesifikasi, kos dan tempoh yang ditetapkan," katanya. 

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan