AM > BERITA

MBI Pemacu Era Baharu Teknologi Blockchain Di Malaysia

29/04/2025 10:24 PM

KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) - MIMOS Berhad hari ini mengumumkan pengoperasian Malaysia Blockchain Infrastructure (MBI), sebuah platform neutral yang menyokong perkhidmatan dan inovasi digital merentasi pelbagai sektor bagi memperkukuh inisiatif aset digital kerajaan ke arah pemerkasaan ekonomi digital negara.

MIMOS dalam kenyataan memaklumkan, MBI merupakan satu inovasi strategik yang menjadi komponen utama Pelan Hala Tuju Blockchain Kebangsaan dan selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.

MBI dibangunkan sebagai pemangkin kepada daya kreativiti, sekali gus mewujudkan persekitaran yang membolehkan pembangun dan inovator meneroka serta mencipta aplikasi blockchain canggih, berimpak tinggi dan bersifat transformasi rentas industri.

“Penubuhan MBI merupakan antara pemacu utama kemajuan digital negara. Ia dibangunkan khusus untuk menyokong integrasi digital yang mampan dan pembangunan infrastruktur digital negara yang menyeluruh serta bersedia untuk masa hadapan.

“Inisiatif ini dipacu oleh MIMOS melalui kerjasama strategik bersama rakan dan penyumbang utama MyEG, yang menzahirkan komitmen bersama dalam mempercepat agenda transformasi digital dan inovasi negara,” menurut kenyataan itu.

Antara pemain industri terawal yang akan menggunakan MBI termasuk Masverse, Cokeeps, iTrace dan Heitech, yang bakal melaksanakan penyelesaian dalam bidang seperti rantaian bekalan, identiti digital, penjagaan aset digital serta pengewangan token (tokenisation) dalam sektor awam dan swasta.

MBI turut menawarkan penyeragaman pelbagai aset digital seperti kelayakan boleh disahkan (verifiable credentials) melalui MyDigitalID, token tidak boleh ditukar ganti (NFT), dan aplikasi kewangan terdesentralisasi (DeFi). Ini secara tidak langsung memperluas akses kepada teknologi blockchain dengan mempermudah pengalaman pengguna bukan teknikal untuk turut serta.

Penyelesaian seperti MyDigitalID akan mendapat manfaat daripada keupayaan bersepadu MBI yang memastikan keaslian, kebolehcapaian dan interoperability (saling kendali) bagi menyokong pelbagai kegunaan, termasuk pendaftaran fizikal di tapak hingga pengesahan perkhidmatan rentas sempadan dan komersial yang kompleks.

MBI juga antara lain bertujuan menggalakkan inovasi dan keterhubungan antara platform, memacu ekonomi digital inklusif serta memastikan tahap keselamatan dan ketelusan digital lebih tinggi, menjadikan teknologi blockchain lebih mudah diakses dan memacu inovasi merentas semua sektor.

Di samping itu, MBI mentakrifkan semula kaedah interaksi dengan teknologi blockchain dengan menyediakan akses bersatu merentasi pelbagai platform dan mempermudah transaksi rentas rantai, sekali gus menghapuskan kerumitan pengendalian sistem yang berbeza.

Sementara itu, Pemangku Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MIMOS Dr Saat Shukri Embong berkata MBI akan meningkatkan daya saing negara dan meletakkan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam penerimagunaan dan pembangunan teknologi blockchain, yang boleh menarik pelaburan serta bakat berkemahiran tinggi.

“Lebih penting, MBI melambangkan keterangkuman digital dengan menjadikan teknologi blockchain dapat diakses semua rakyat Malaysia tanpa mengira tahap kepakaran teknikal mereka.

“MBI bukan sahaja memacu kemajuan teknologi, tetapi turut menyumbang kepada kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara secara keseluruhan,” katanya.

Beliau menyifatkan MBI sebagai manifestasi komitmen MIMOS, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Kerajaan MADANI untuk memastikan manfaat teknologi dikongsi secara saksama dalam menjana pertumbuhan ekonomi yang mampan dan pembangunan sosial.

Saat Shukri turut memaklumkan bahawa MIMOS telah memainkan peranan penting dalam memacu penerimagunaan teknologi blockchain, dan penubuhan MBI adalah usaha untuk menangani cabaran ekosistem dengan menyatukan pelbagai platform teknologi

MBI menggunakan Zetrix sebagai rantaian teras dan boleh berfungsi seiring dengan rantaian awam seperti Ethereum, Solana serta Blockchain Persendirian bagi mewujudkan antara muka yang seragam.

Beliau turut menyeru agar semua pihak berkepentingan, termasuk industri, penyelidik dan pembuat dasar, terus mengekalkan semangat kolaborasi kerana kerjasama erat antara sektor awam dan swasta adalah kunci kepada pembangunan ekosistem blockchain yang inklusif, mampan dan berdaya tahan di peringkat serantau.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan