MELAKA, 29 April (Bernama) -- Inisiatif Beras Melaka berjaya dilaksanakan menerusi peruntukan berjumlah RM300,000 yang diluluskan kerajaan negeri di bawah Bajet 2024 apabila mula dijual di pasaran terpilih bermula 26 April lepas.
Ketua Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata Beras Melaka yang hanya dijual untuk rakyat tempatan itu boleh diperoleh pada harga RM26 bagi 10 kilogram sekampit di enam lokasi pasar tani di negeri ini.
Beliau berkata lokasi berkenaan ialah Pasar Tani Alor Gajah pada setiap Ahad bermula 8 pagi hingga 12 tengah hari, Pasar Tani Masjid Tanah (Sabtu pada 8 pagi hingga 12 tengah hari), Pasar Tani Lubok China (Jumaat pada 4 petang hingga 9 malam), Pasar Tani Merlimau (Selasa dan Ahad pada 8 pagi hingga 12 tengah hari), Pasar Tani Jasin (Rabu dan Sabtu pada 8 pagi hingga 12 tengah hari) serta Pasar Tani Selandar (Khamis pada 8 pagi hingga 12 tengah hari).
"Selain pasar tani, Beras Melaka juga dijual di 28 AgroBazaar Kedai Rakyat di sekitar negeri, Program Jualan Agro MADANI dan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat.
"Justeru, orang Melaka kena ambil kesempatan untuk mendapatkan Beras Melaka ini yang dijual pada harga yang murah dan bagi fasa pertama sebanyak 4,000 kampit akan dijual di lokasi terpilih antaranya di pasar tani," katanya pada sidang media Pelancaran Beras Melaka di sini hari ini.
Pelancaran berkenaan dilakukan di luar Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang turut dihadiri Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.
Ab Rauf berkata projek Beras Melaka melibatkan keluasan tanaman 46.75 hektar yang dibangunkan di Sawah Tengah Padang di Merlimau, Jasin menggunakan varieti benih padi MR297.
Beliau berkata sebanyak 18 pesawah padi terlibat dalam projek yang mula dilaksanakan pada 26 Sept tahun lepas dan sebanyak 210 tan padi disasar dihasilkan bagi satu musim.
“Daripada keluasan tanaman yang diperuntukan itu, sebanyak 19 hektar adalah untuk tanaman padi benih sah manakala 27.75 hektar pula adalah untuk tanaman padi beras dan hasil keseluruhan berat kasar ialah sebanyak 149.6 tan," katanya.
Beliau berkata hasil tanaman padi berkenaan telah mula dituai pada 20 Jan tahun ini dan pengedarannya diuruskan Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri.
Sementara itu, Dr Muhamad Akmal berkata projek Beras Melaka dilaksanakan sebagai sebahagian langkah untuk mengekang kartel beras yang mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan.
"Melalui projek ini, semua proses kita dapat kawal bermula di peringkat tanaman hingga pembungkusan dengan kerjasama agensi terlibat. Kita juga akan dapat data kepada siapa Beras Melaka dijual sekali gus menghalang kartel terlibat yang memalsu dan menipu rakyat dengan mencampurkan beras tempatan dan import," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial